Wednesday, March 29, 2017

Apa Itu Raj'ah?

Raj’ah umumnya difahami sebagai kepulangan ke alam fizikal selepas kematian.
Ismail Ibn Hammad Al-Jawhari dan Majd Al-Deen Al-Fairuzabadi berkata:
Ada beberapa individu tertentu yang mempercayai Raj’ah, iaitu kepulangan ke alam fizikal setelah mati. (Al-Jawhari 1987, vol. 3 1216, dan Al-Fairuzabadi 1979 vol. 3, 28).
Makna secara teknikal yang kami ingin jelaskan adalah seperti berikut:
Raj’ah adalah sebuah alam yang lain. Ia adalah salah satu dari tiga hari-hari Allah, dua yang lain adalah Hari Al-Qaim dan Hari Penghakiman. Ia mempunyai undang-undang dan sistemnya yang tersendiri, seperti yang telah disebutkan di dalam banyak riwayat dari Keluarga Muhammad (s), yang mana akan kita telusuri nanti.
Setelah menyebutkan dua dari hari-hari tersebut, iaitu Hari Al-Qaim dan Hari Penghakiman, Sayed Ahmed Al-Hasan (a) berkata:
Apa yang tinggal adalah Hari Raj’ah. Sudah semestinya ia adalah alam/dunia yang berbeza. Jika tidak, ia sudah semestinya akan dikhaskan/dikelaskan sebagai suatu hari (kepada Hari Al-Qaim atau Hari Penghakiman/Pembalasan), yang membawa maksud ia adalah suatu masa & zaman yang tidak mempunyai sebarang kaitan/pertalian dengan alam fizikal & Hari Penghakiman/Pembalasan. Oleh itu, ia adalah hari yang berbeza sama sekali.
  Kenyataan beliau yang lain adalah seperti berikut:
  Nama Raj’ah memberi tanda akan maksudnya, semoga Allah memberikan kamu kejayaan. Ia adalah kepulangan, iaitu pengulangan. Manusia yang telah mati akan dikembalikan, sebuah ujian yang telah berakhir namun diulangi, dan hari yang telah berlalu yang juga diulangi.
  Ia adalah sebuah ujian berbeza. Susunan Raj’ah dan turutannya di mana manusia dikembalikan berada di tangan Allah Azza wa Jall.
  Raj’ah adalah di alam lain yang berbeza dengan alam fizikal ini. Oleh itu, sifatnya berbeza dengan alam ini.
  Kita akan memeriksa dengan teliti jawapan-jawapan dari Para Wasi yang Suci dari Keluarga Muhammad (a), namun sebelum itu, kami akan mempersembahkan rumusan dari hal-hal yang penting tentang Raj’ah, yang mana telah disebutkan oleh para agamawan Syiah, atau sekurang-kurangnya, disebutkan oleh majoriti dari mereka, iaitu perkara yang telah ditegakkan dan berkaitan dengan ideologi mereka.

Pendahuluan Kitab Raj'ah

Dalam menerangkan makna Raj’ah, Sayed Ahmed Al-Hasan (a) berkata:

     Perkataan Raj’ah (Bahasa Arab) menunjukkan akan maknanya, semoga Allah memberikan kamu kejayaan. Ia adalah satu pengembalian, yang membawa maksud pengulangan. Manusia yang sudah mati akan kembali, ujian yang telah berakhir akan diulangi, dan hari yang telah berlalu akan berulang.


Tiada sebarang keraguan bahawa hadis berkenaan Raj’ah, dan penerangan tentang sifat-sifatnya serta segala perkara yang berkaitan dengannya, adalah urusan yang paling besar pernah wujud. Hanya Khalifah Allah sahaja yang mampu memberikan jawapan berkenaan Raj’ah, seperti mana juga mereka boleh memberikan jawapan urusan-urusan besar lain yang berkaitan dengan agama Tuhan dan alam-alam ciptaan.

    Berdasarkan hakikat ini, telah disebutkan bahawa orang yang akan menerangkan perkara ini adalah Al-Qaim (as):

Zurara berkata: “Aku bertanya kepada Abu Abdullah (as) perihal urusan besar berkenaan Raj'ah dan perkara lain,yang berkaitan. Beliau bersabda: "Berkenaan apa yang kamu tanyakan, masanya masih belum tiba. Allah SWT berfirman: [ Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).] Yunus 10:39.


   Sayed Ahmed Al-Hasan ditanyakan tentang riwayat ini: "Adakah Al-Qaim yang ditugaskan untuk menerangkan perkara ini?" Beliau menjawab, "Ya."

  Atas sebab ini, sepatutnya memadai untuk para agamawan dengan berkata, “Aku tidak tahu” berkaitan isu Raj’ah. Malangnya, mereka mencampuri urusan yang hanya Al-Qaim boleh menerangkannya.

Oleh kerana Alam Raj’ah adalah alam yang lain, berdasarkan kata-kata Keluarga Muhammad (a), dan ia mempunyai peraturan dan sistemnya yang tersendiri, maka adalah salah untuk menafsirkan konsep yang disebutkan dalam beberapa riwayat dengan menggunakan makna yang difahami di alam fizikal ini. Mungkin disebabkan oleh kejahilan mereka akan perkara ini, telah menyebabkan para agamawan menjadi sesat, berlegar-legar dalam kekeliruan dalam diskusi mereka.

  Tambahan pula, disebabkan oleh kejahilan mereka, sesetengah dari mereka telah melampaui batas, dengan menjadikan salah faham mereka berkenaan Raj’ah dan lokasinya sebagai alasan untuk menafikan 12 khalifah dari Keluarga Muhammad (12 Mahdi), walaupun ia disebutkan di dalam Wasiat Suci Nabi Muhammad (s), yang ditulis di malam kewafatan baginda.

  Buku ringkas ini telah ditulis untuk membuka beberapa fakta tersembunyi berkenaan urusan besar ini. Ia mengandungi jawapan-jawapan dari Imam Ahmed Al-Hasan kepada soalan-soalan ditanya kepada beliau berkaitan Alam Raj’ah dan urusan berkaitan dengannya. Ini sekaligus menjadi bukti tambahan kebenaran dakwaan beliau (sebagai Al-Yamani).

  Sesetengah jawapan di dalam buku ini dikutip dari buku-buku Ahemd Al-Hasan dan Ansarnya. Ini termasuk kitab Mutasyabihat, Kitab Tauhid, Jawab al-Munir dan Ma’a Abd Al-Soleh. Kebanyakan buku-buku lain mengandungi jawapan kepada soalan-soalan yang ditanyakan kepada beliau baru-baru ini. Kompilasi ini kini boleh didapati oleh semua orang.

  Akhir kata saya bertawakkal sepenuhnya kepada Allah untuk mengampuni dosa-dosa saya dan kekurangan saya terhadap Imam Al-Majhul ini, semoga Allah menjadikan pengakhiran hidup saya dan kaum mukminin sebagai pengakhiran yang baik. Dia Maha Pengasih kepada semua mukminin.

  Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.





September, 2012

Alaa Al-Salim

Sunday, March 26, 2017

Mahdi Sudah Berada di Tengah Kita



Mahdi Sudah Berada di Tengah Kita


Setelah usai perbicaraan dari sudut teori dan konsep seiring mengetahui pendapat yang muktamad dalam mengenal antara penuntut sebenar dan penuntut palsu berdasarkan tatacara Ilahi ini, yang Allah jamin keterpeliharaannya daripada jatuh ke tangan-tangan para penyeleweng. Oleh itu, kita wajib melihat tatacara ini sebagai pembuktian yang wujud semenjak zaman diserukan umat manusia supaya mengambil firmanNya SWT sebagai syiar mereka:

{Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.}[1]

Siapakah Mahdi Sang khalifah Allah itu?


Kini telah tiba seorang tokoh yang menuntut kedudukan tersebut bernama Ahmad Al Hassan. Beliau a.s berkata:

“Khusus buat muslimin ahlus sunnah, ketahuilah bahawa Rasulullah s.a.w telah menggesa mereka agar mendukung Mahdi. Baginda menamakannya sebagai Mahdi sang khalifah Allah sebagaimana yang disebutkan oleh hadis-hadis sahih dalam kitab-kitab ahlus sunnah. Saya telah datang kepada mereka dan nama saya menyerupai nama Rasulullah s.a.w iaitu Ahmad, sementara nama bapa saya menyerupai nama bapa Rasulullah s.a.w iaitu Ismail sebagaimana yang dinaskan dalam riwayat-riwayat. Rasulullah s.a.w sendiri bersabda: “Aku adalah putera dua sembelihan iaitu Abdullah dan Ismail.” Saya telah datang kepada kalian dengan membawakan nas penamaan yang disifatkan ianya sebagai terpelihara dari kesesatan bagi orang yang berpegang teguh dengannya. Saya datang dengan ilmu dan juga panji baiah milik Allah.

Oleh itu, bertakwalah kalian kepada Allah, wahai umat Muhammad s.a.w! Patuhlah pada kebenaran serta ikutilah Mahdi sang khalifah Allah, yang Rasulullah s.a.w telah serukan kepada kalian supaya mendukungnya walau terpaksa merangkak di atas salji…”[2]

Telah tiba Mahdi Sang Khalifah Allah bernama Ahmad Al-Hasan a.s dengan tiga fasal dalam Tatacara Mengenal Hujat Allah:

Nas: ianya telah disebutkan terdahulu bahawa namanya adalah Ahmad. Namanya mirip [Yuwāiʿ] nama Nabi s.a.w, sementara nama bapanya adalah Ismail iaitu nama bapa Nabi s.a.w kerana beliau adalah anak dua sembelihan, iaitu Abdullah dan Ismail bin Ibrahim a.s.

Ilmu: beliau telah menjelaskan perkara-perkara besar [ʿadhāim al-`Umūr] yang belum pernah ada penjelasannya sebelum ini. Beliau telah menerbitkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu seperti:

      memuhkamkan perkara-perkara mutasyābihāt [kesamaran]
      tafsir Quran
      kisah-kisah dan keadaan-keadaan yang menuntut keterangan dari para khalifah Allah
      Pegangan-pegangan akidah sebenar
      Makrifat-makrifat ketuhanan
      Penjelasan tentang apa yang disebutkan di dalam kitab-kitab Ilahi iaitu Taurat, Injil dan Quran
      Jawapan terhadap orang-orang ateis menurut kaedah ilmu sains moden yang menjadi sandaran mereka
      dan lain-lain lagi yang tidak mampu kami senaraikan kesemuanya di sini.

Pemerintahan Allah (Hākīmīyah Allah): Mahdi sang khalifah Allah, Ahmad Al-Hasan a.s berkata:

“Seruanku adalah sama seperti seruan Nuh a.s, seruan Ibrahim a.s, seruan Musa a.s, Seruan Isa a.s dan seruan Muhammad s.a.w.

Bagi menyebarluaskan tauhid di setiap pelusuk bumi ini. Tujuan para anbia dan wasi-wasi adalah tujuanku. Aku memperjelaskan tentang Taurat, Injil dan Quran, serta segala perkara yang kalian perselisihkan di dalamnya. Aku menjelaskan penyelewengan pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani, serta ulama Muslimin sehingga menyebabkan mereka terkeluar daripada syariat Ilahi dan pencabulan mereka terhadap wasiat para anbia a.s.

Kehendakku adalah kehendak Allah SWT dan juga keinginanNya, supaya penduduk bumi tidak menginginkan sesuatu kecuali apa yang diinginkan oleh Allah SWT. Untuk memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana ianya telah dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan sebelumnya. Untuk mengenyangkan orang-orang yang kelaparan dan tiada lagi orang miskin yang tidak mempunyai tempat tinggal. Untuk menggembirakan anak-anak yatim setelah  kesedihan mereka yang panjang, serta para janda akan mendapati keperluan hidup dipenuhi dengan kemuliaan dan kehormatan dan banyak lagi. Perkara terpenting adalah melaksanakan apa yang terkandung di dalam syariat iaitu keadilan, kerahmatan dan kejujuran.”[3]



[1] Quran 16: 125
[2] Kitab Wasiat suci sebuah tulisan yang terpelihara dari kesesatan oleh Sayed Ahmad Al-Hasan a.s, halaman 25.
[3] Kitab Al-Jawāb al-Munīr, jilid 1, soalan no. 2

Mahdi Dikenali Dengan Tatacara Mengenal Khalifah Allah



Mahdi Dikenali Dengan Tatacara Mengenal  Khalifah Allah


Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa tatacara mengenal hujat Allah itu sendiri akan menjadi bukti pengenalan para khalifah Allah dengan cara yang muktamad. Dari sini kita akan melihat ketiga-tiga fasal ini, iaitu nas dan wasiat, ilmu dan hikmah, serta panji baiah milik Allah dan pemerintahan Allah bakal dijadikan hujah oleh sang khalifah Allah, Mahdi a.s.

Nas: ianya diriwayatkan secara mutawatir bagi menjelaskan bahawa nama Mahdi itu sama ada Muhammad atau Ahmad, seperti dalam riwayat-riwayat berikut:

a)   Sabda Rasulullah s.a.w: (Seorang lelaki dari anak keturunanku akan muncul di akhir zaman, namanya seperti namaku dan gelarannya seperti gelaranku. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi kezaliman sebelumnya, yang demikian itu adalah Mahdi.)[1]

b)   Sabda Rasulullah s.a.w: (Tidak berlaku hari kiamat (al-Saʿah) sehinggalah seorang lelaki dari Ahlulbaitku akan memerintah, namanya memiripi[2] namaku.)[3]

c)    Sabda Rasulullah s.a.w: (Dunia tidak akan lenyap atau bersabda tidak akan berakhir sehinggalah seorang lelaki dari Ahlulbaitku akan memerintah bangsa Arab, namanya memiripi namaku.)[4]


Beberapa perkara dapat disimpulkan dari hadits-hadits di atas:
      Namanya adalah namaku.
      Namanya memiripi (yuwāiʿu) namaku.
      Namanya seperti namaku dan gelarannya adalah gelaranku.

Apa yang menjadi perhatian di dalam kesimpulan ini adalah kemiripan [muwaaah] atau keserupaan [musyābahah].
     
Diriwayatkan daripada Abdullah bahawa Nabi s.a.w bersabda: (Dunia tidak akan lenyap sebelum seorang lelaki dari Ahlulbaitku menguasai dunia, namanya mirip namaku.” Perawi bertanya: “Wahai bapa Abdurrahman, apakah maksud [yuwāiʿ].” Beliau menjawab: “menyerupai [yusybihu]”.)[5] 

Ini bererti Mahdi sang khalifah Allah yang dilahirkan di akhir zaman itu namanya menyerupai atau memiripi nama Nabi s.a.w, bukan nama yang sama dengan nama Nabi s.a.w. Maka nama Nabi s.a.w itu adalah Muhammad, sementara nama Mahdi itu adalah Ahmad. Manakala nama bapanya pula adalah nama bapa Nabi Muhammad s.a.w.

 Sewajarnya kita mengetahui bahawa perkataan bapa (`Ab: أب) dituturkan ke atas bapa kandung dan bapa keturunan yang terdapat dalam silsilah keturunan. Justeru itu, kita dapati hadis Nabi s.a.w menyatakan:

أنا ابن الذبيحين عبدالله وإسماعيل
(Aku adalah putra dua sembelihan iaitu Abdullah dan Ismail.)[6]

Baginda s.a.w adalah putera Ismail dan Abdullah. Bahkan terdapat juga riwayat-riwayat yang menjelaskan bahawa Mahdi adalah dari anak Fatimah, sedangkan beliau bukan putera kandung Fatimah. Tetapi anak keturunannya sekaligus membenarkan bahawa beliau adalah anak Fatimah.

Sebagaimana kita menuturkan bahawa Nabi Allah Adam adalah bapa kita semua, di samping kita dapati ayat Quran menyatakan:

{Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.}[7]

{Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan daripada keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.}[8]

Justeru itu, Adam adalah bapa keseluruhan manusia sedangkan dia bukanlah bapa kandung setiap manusia, tetapi dia tetap dituturkan sebagai bapa dan keseluruhan anak keturunannya adalah bani Adam a.s.

Begitu juga Allah SWT berfirman:

{[Ikutilah] agama bapa kamu Ibrahim. Dia [Allah] telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu.}[9]

{Adakah kamu hadir menyaksikan ketika kematian menjemput Yaaqub, ketika ia berkata kepada anak-anaknya, “Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?” Mereka menjawab, “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu, Ibrahim, Ismail, dan Ishaq, [iaitu] Tuhan Yang Maha Esa, dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.}[10]

Ibrahim a.s adalah bapa bagi seluruh orang Islam kerana Islam adalah agama Ibrahimi yang lurus. Begitu juga dalam ayat kedua yang menyebutkan bahawa Ibrahim adalah bapa Yaaqub a.s sedangkan dia bukan bapa kandung Nabi Yaaqub.

Dari sini kita mengerti bahawa nama Mahdi itu akan menyerupai nama datuknya iaitu Nabi s.a.w, sebagaimana nama bapanya juga adalah nama bapa Nabi s.a.w. Ia tidak semestinya bermaksud bapa kandung sebagaimana yang kita ketahui, tetapi kemungkinan besar merujuk kepada salah seorang bapa yang terdapat dalam silsilah keturunannya dan disebabkan itu disebut bapa jauh itu sebagai bapa.

Nama Mahdi itu menyerupai nama Nabi s.a.w iaitu Ahmad, sementara nama bapanya sama ada Abdullah atau Ismail. Kesimpulannya nama Mahdi sang khalifah Allah itu sama ada Ahmad bin Abdullah atau Ahmad bin Ismail. Kenyataan ini kita ketemui dalam kitab Allah SWT bahawa Isa a.s telah mengkhabarkan berita gembira akan kedatangan Nabi s.a.w dan menyebutkan nama baginda:

{Dan [ingatlah] ketika Isa ibnu Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan [datangnya] seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad [Muhammad]". Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: "Ini adalah sihir yang nyata".}[11]

Tatkala yang datang kepada mereka pada waktu itu adalah Muhammad s.a.w, maka tiada lagi alasan buat orang yang tidak beriman kepada Muhammad menggunakan hujah bahawa Isa a.s memberi berita gembira tentang Ahmad, bukan Muhammad. Begitulah juga di hari ini, sekiranya yang datang itu adalah Ahmad, maka tiada lagi alasan buat orang yang membelakangkan beliau menggunakan hujah bahawa Nabi s.a.w memberi khabar gembira tentang nama Mahdi itu adalah nama Nabi s.a.w.

Malah dalil yang tertegak adalah nama Mahdi sang khalifah Allah itu menyerupai nama Nabi s.a.w, bukannya menyamai nama Nabi s.a.w. Justeru itu, hadis-hadis memfokuskan perkataan “yuwāiʿ” iaitu mirip atau menyerupai [yusyābih].

Ilmu: kekhalifahan seorang khalifah Allah SWT itu diluruskan dengan ilmu, masing-masing menurut kedudukannya yang tersendiri. Ini dipertegaskan oleh Quran Karim:

 {Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepadaku ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.}[12]

{Nabi mereka berkata kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah mengangkat ālūt menjadi rajamu.” Mereka menjawab: “Bagaimana mungkin ālūt memerintah kami, sedangkan kami lebih berhak untuk mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedangkan dia tidak diberi kekayaan yang melimpah?” Nabi mereka berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya keluasan ilmu dan tubuh yang perkasa. Dan Allah memberikan kerajaanNya kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.}[13]

{Dan [ingatlah kisah] Daud dan Sulaiman, ketika mereka berdua memberikan keputusan mengenai tanaman, kerana tanaman itu dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Dan Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu. * Maka Kami telah memahamkan kepada Sulaiman hukum [yang sebenarnya]; dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan [kelayakan untuk] memberi keputusan dan ilmu, dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. Dan Kamilah yang melakukannya.}[14] 

{Allah akan menganugerahkan hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi hikmah tersebut, dia benar-benar telah dianugerahi kebaikan yang yang tak terhingga. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran.}[15]

Hati-hati kesemua khalifah Allah telah dipenuhi dengan ilmu dan hikmah yang Allah limpahkan kepada mereka. Oleh itu, ilmu dan hikmah akan sentiasa berdampingan dengan setiap khalifah Allah. Justeru itu, kita temui banyak riwayat yang menjelaskan bahawa Mahdi sang khalifah Allah akan berhukum sesama ahli Injil dengan injil mereka dan sesama ahli Taurat dengan taurat mereka kerana beliau adalah kesinambungan bagi pemilik Taurat dan Injil.
 
Ibn Hammad meriwayatkan dengan sanadnya daripada Kaʿab: (Mahdi diutus memerangi Rom. Dia dianugerahi kefahaman tentang sepuluh perintah Tuhan, lalu mengeluarkan peti yang terpendam dari gua Anāqiyah. Di dalamnya terdapat Taurat yang Allah turunkan kepada Musa a.s dan juga Injil yang Allah turunkan kepada Isa a.s. Beliau akan berhukum sesama ahli Taurat dengan Taurat mereka dan sesama ahli Injil dengan Injil mereka.)[16] 
  
Diriwayatkan juga oleh Ibnu Hammād daripada Ka’ab bahawa dia berkata: (Dinamakan sebagai Mahdi kerana dia menunjuk kepada lembaran-lembaran dari kitab Taurat. Dia mengeluarkannya dari sebuah bukit di Syam sambil menyerukannya kepada kaum Yahudi, lantas banyak kelompok [Yahudi] yang tunduk kepada kitab-kitab itu, setelah itu disebutkan bahawa jumlah mereka itu sekitar tiga puluh ribu.)[17] 

Pemerintahan Allah [Hākimiyat Allah]: ia bererti kanun dan juga pelaksananya adalah daripada Allah SWT. Kedua-dua kanun dan pelaksananya adalah terpelihara daripada kesalahan agar risalah langit itu sampai kepada umat manusia dalam keadaan tulen dan bebas dari sebarang kecacatan. Justeru Mahdi sang khalifah Allah itu diutuskan oleh Allah SWT untuk perlaksanaan hukum-hakamnya tanpa sebarang noda kegelapan atau kezaliman. Malahan Allah mengutus beliau untuk menegakkan kebenaran, membenteras bidaah-bidaah dan menyatukan umat manusia atas kalimah yang sama.

{Katakanlah, “Wahai ahli kitab, marilah [berpegang teguh] kepada satu kalimat  yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak [pula] sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah.” Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri [kepada Allah].}[18]

Beliau akan menyebarkan keadilan di tengah umat manusia, sebagaimana disebutkan dalam hadis-hadis terdahulu: (Kekhalifahannya akan diredai para penghuni langit dan bumi, serta burung-burung di udara.)[19] 

Kezaliman itu menyelubungi umat manusia disebabkan hilangnya dua perkara ini, iaitu perlembagaan Allah dan pelaksananya yang dilantik oleh Allah. Mahdi sang Khalifah Allah akan melaksanakan manhaj Ilahi di tengah umat manusia, serta berjalan dengan mereka berdasarkan sirah dan petunjuk Nabi s.a.w.

Beliau akan melaksanakan hukum Allah kerana beliau dilantik oleh Allah, sambil menyeru kepada Allah serta mengibarkan panji-panji baiah milik Allah.

Diriwayatkan oleh Al-Marūzī dengan sanadnya daripada Nawf al-Bukālī bahawa dia berkata: (Pada panji Mahdi itu tertera perkataan Al-Bayʿatu lillāh [baiah milik Allah].)[20]



[1] ʿUqd al-Durar fī Akhbār al-Muntaẓar, ms 32
[2] Mirip: hampir sama atau serupa, kamus Dewan Edisi ketiga.
[3] Musnad Ahmad, jilid 1, ms 376
[4] Musnad Ahmad, jilid 1, ms 374.
[5] ʿUqd al-Durar fi akhbār al-Muntaẓar li Yūsuf bin Yahya Al-Maqdisī, ms 30.
[6] Al-Mustadrak al-Ḥākim, jilid 2, ms 559. Nayl al-Awṭār li Al-Syawkānī, jilid 9, ms 164.
[7] Quran 7: 26
[8] Quran 7:27
[9] Quran 22: 78
[10] Quran 2: 133
[11] Quran 61: 6
[12] Quran 19: 43
[13] Quran 2: 247
[14] Quran 21: 78-79
[15] Quran 2: 269
[16] Al-Fitan Al-Marūzī, Hadis 1022.
[17] Al-Fitan Al-Marūzī, hadits 1035.
[18] Quran 3: 64
[19] Al-Ṣawāʿiq al-Muḥriqah li Ibn Ḥajar Al-Haytamī Al-Makkī, ms 164.
[20] Fitan al-Marūzī, hadis 1026.

8 Soalan Kepada Mereka Yang Menunggu Kemunculan Serentak Yamani, Sufyani dan Khurasani

Keluarnya tiga panji serentak, bukanlah syarat utama untuk mengenali Al Yamani. Saya bercakap tentang hadis berikut yang dijadikan hu...