Thursday, April 20, 2017

Bab 6: Islam, Keganasan Dan Hak Wanita

Bab 6: Islam, Keganasan Dan Hak Wanita

Soalan 6: Ada sesetengah yang mengatakan bahawa keganasan bukanlah isu yang baru dalam Islam, malah ia bermula dari zaman Nabi , dan mereka mengatakan Islam tersebar melalui pedang, jadi bagaimana anda menafsirkan ayat-ayat Quran yang menggalakkan pembunuhan, penghapusan dan pemulauan.

1. Surah Aali Imran 3: 85, 91, 83
2. Surah At-Taubah: 9:29
3. Surah An-Nisa: 4:91
4. Surah Muhammad 47: 4

Dan bagaimana anda menafsirkan ayat-ayat berkaitan pewarisan dan kesaksian yang menindas hak wanita?

Jawaban: Perkara berkaitan jihad dalam agama samawi, secara keseluruhan, bukan sekadar dalam Islam, adalah perkara yang telah saya jelaskan dalam kitab Jihad Bab Al Jannah.[1] Berkaitan ayat di dalam Quran yang mereka nyatakan sebagai menggalakkan keganasan dan memencilkan orang lain:

Pertama: Surah Aali Imran

Ayat 19: Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya

Ayat 83: Patutkah sesudah itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.

Ayat 85: Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Maksud Sebenar Aali Imran: 83-85 :

Patutkah sesudah itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan. . Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Jesus, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)". Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Ayat 84 dari Surah Aali Imran jelas menunjukkan makna Islam di dalam ayat ini adalah penyerahan diri kepada Allah dan kepada khalifah Allah di bumiNya pada setiap masa, yang telah dilantik mengikut undang-undang kekhalifahan Allah (S) di bumiNya ini, yang telah ada sejak hari pertama manusia pertama menjejakkan kaki di muka bumi ini yakni Nabi Adam , yang Allah telah dilantik Allah sebagai khalifahNya di muka bumi.

Jadi ayat ini bukanlah bertujuan untuk memencilkan sesiapa atau menghakimi sesiapa, tetapi ia bertujuan untuk menerangkan undang-undang kepercayaan yang diterima di sisi Allah, iaitu penyerahan diri kepadaNya dan kepada khalifahNya di muka bumi. Namun jika anda beranggapan dengan meletakkan undang-undang kepercayaan (iaitu penyerahan diri kepadaNya dan kepada khalifahNya di muka bumi) adalah satu bentuk peminggiran bagi mereka yang tidak boleh menerimanya / bersependapat, maka maksud kata-kata anda adalah setiap orang yang beragama akan meminggirkan manusia yang lain(yang tidak bersefahaman dengannya), memandangkan semua agama mempunyai undang-undang kepercayaan mereka tersendiri. Malah ia akan melibatkan semua kumpulan yang mempunyai ideologi.[2]

Kedua: Surah At Taubah: 29

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar "Jizyah" dengan keadaan taat dan merendah diri

Maksud Sebenar: Al-Quran adalah sebuah kitab yang integral (saling berkait, dan sebagai kitab yang satu) dan apa yang dilakukan oleh Wahabi untuk menyebarkan ideologi batil dan fatwa untuk membunuh manusia, dan apa yang dilakukan oleh pihak Kristian dan yang lain dalam memfitnah Quran adalah satu proses (di mana mereka) mengambil ayat-ayat dari sebuah kitab yang bersifat integral, yang mana tiada bahagian yang boleh diambil begitu sahaja lalu mengabaikan bahagian yang lain.[3]

Dan Allah SWT telah menerangkan di dalam Quran bahawa ia adalah satu unit yang mana bahagian-bahagiannya saling berkaitan di antara satu sama lain, dan adalah tidak sah untuk mengasing-asingkannya. Barangsiapa yang mengasing-asingkannya adalah orang yang berat sebelah, yang berniat untuk menimbulkan perbalahan, samada untuk:

  • Untuk memfitnah dengan cara yang rambang dan tidak masuk akal, seperti seorang yang mengatakan bahawa sesiapa yang menyebut " Tiada Tuhan selain Allah" adalah kafir kerana dia mengatakan "tiada Tuhan" atau

  • Dia adalah orang yang ingin menyebarkan sebuah ideologi atau fatwa yang korup atas sebab tersendiri, seperti yang telah dilakukan oleh Wahabi (atau mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai Salafi).

Dan berikut adalah ayat-ayat dari Quran yang melarang tindakan berat sebelah ini iaitu tindakan mengasing-asingkan Al-Quran:

Surah Al-Baqarah: 85

Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Surah Al Hijr 15:91-93

(Iaitu) mereka yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain). Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak), Mengenai apa yang mereka telah lakukan

Berkenaan ayat 29, surah At Taubah, kita perlu membaca ayat-ayat selepasnya untuk melihat dengan jelas mengapa Allah (SWT) memerintahkan orang mukmin untuk berperang

29 Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab, sehingga mereka membayar "Jizyah" dengan keadaan taat dan merendah diri.

30 Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

31 Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

32 Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

33 Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Oleh itu, Allah menyeru mereka diperangi kerana mereka adalah orang yang memulakan peperangan. (32 Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dan saya tidak berpendapat bahawa galakan untuk membunuh orang lain, atau persediaan untuk membunuh orang lain atau mempersiapkan kelengkapan untuk membunuh orang lain adalah selain dari peperangan. Dan saya percaya bahawa keinginan untuk memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka membuktikan perkara ini dan lebih lagi. [4]

Dan jika ayat sebelumnya membenarkan memberi dan mengambil, serta bersifat mutashabih, maka wujud juga ayat yang jelas dan muhkam yang menerangkan bahawa Allah menyeru orang beriman untuk hanya memerangi orang yang memerangi mereka; dan Allah melarang orang beriman untuk menyerang selain mereka; dan ayat yang mutashabih harus dirujukkan kepada yang muhkam. Allah SWT berfirman:

"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh." Surah Al Baqarah 2:190

Malahan, tindakan Rasul Allah  adalah jelas, kerana bangsa Yahudi yang merupakan Ahli Kitab, pernah tinggal dengan aman bersama baginda di Madinah dan baginda tidak mengapa-apa kan mereka sehingga mereka mula memerangi baginda dan membantu orang yang menentang baginda .

Perhatian juga harus diberikan kepada hakikat bahawa Islam dan agama Illahi tidak menganggap agama dan politik itu terpisah, malah pemerintahan dan politik adalah satu komponen dari agama, oleh itu banyak ayat dari Quran adalah undang-undang ketenteraan yang menerangkan tentang hak seorang tentera di medan perang, dan apa yang dibenarkan kepada beliau untuk diperbuat kepada sesiapa yang memeranginya; kerana seorang mukmin tidak akan membunuh, walaupun orang yang memeranginya, melainkan dengan perintah Allah agar beliau mendapat ganjaran. Atas sebab ini, Allah membenarkan orang mukmin untuk membunuh sesiapa sahaja yang memerangi dirinya di medan perang, dan Dia menerangkan perkara ini dalam Quran; sama seperti negara-negara dari zaman dahulu hingga sekarang yang melaksanakan undang-undang untuk tentera mereka, yang mana hak-hak tentera mereka, serta apa yang dibenarkan dan apa yang tidak, diterangkan.

Ayat ketiga: Surah An-Nisa: 91

Kamu juga akan dapati golongan-golongan yang lain supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu, dan supaya mereka beroleh aman dari pihak kaumnya. Tiap-tiap kali mereka diajak kepada fitnah, mereka segera terjerumus ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu, dan (tidak pula) menawarkan perdamaian kepada kamu dan juga (tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu), maka hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya.

Apakah masalahnya dengan ayat ini? Ia menyeru orang mukmin untuk memerangi orang kafir yang tidak berhenti memerangi orang-orang beriman.

Sebagai tambahan, ayat sebelumnya dari surah yang sama juga menyebutkan tentang keizinan untuk membuat perjanjian damai dengan sesiapa yang memohon keamanan dan tidak memerangi orang beriman atau membahayakan mereka.

Kecuali orang-orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka. (Surah An Nisa 4:90)

Ayat Keempat: Surah Muhammad: 4

Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang menimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan ugamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka. (Surah Muhammad 47:4)

Maksud ayat ini: Ayat ini memberi penerangan tentang hak-hak tentera beriman di dalam tentera Islam, semasa peperangan dan di medan peperangan, iaitu hak untuk membunuh orang kafir yang memerangi mereka,[5] dan ia juga menerangkan bahawa tentera beriman mempunyai hak untuk mengambil tawanan, serta kebebasan dalam menguruskan mereka, samada untuk membebaskan tawanan tanpa pertukaran, atau menukarkan mereka, atau meminta tebusan dll.

Jadi di manakah masalahnya dengan ayat ini? Kami telah menyebutkan bahawa Quran adalah undang-undang Illahi bukan sekadar untuk beribadat, malah ia juga menjelaskan politik ketuhanan, pemerintahan, hak orang beriman dan kewajiban mereka.

Ayat Kelima:

Sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa kaum wanita ditindas oleh sesuatu undang-undang tertentu seperti perwarisan [6]    atau penyaksian haruslah menerangkan kepada kami skala dan standard emas yang digunakan untuk menentukan (apa itu) keadilan dan kezaliman, yang seterusnya didasarkan dalam membuat keputusan bahawa seorang wanita harus disetarafkan dengan seorang lelaki dalam semua perkara, walaupun kita semua melihat bahawa wanita tidak setaraf dengan lelaki dalam semua perkara. [7]

Juga: sesiapa yang mahu mengkritik sesuatu undang-undang yang wujud dalam satu sistem undang-undang (yang besar), haruslah melihatnya sebagai sebahagian dari sistem (yang besar ini) dan bukan mengambil satu bahagian darinya dan menganggapnya sebagai sistem yang berbeza.

Sekurang-kurangnya dia perlu mempertimbangkan kedua-dua hak wanita dan tanggungjawabnya dalam Syariat Illahi dan bukan semata-mata mempertimbangkan haknya dan menuduh bahawa wanita diberikan hak yang kurang berbanding lelaki dalam syariat. Mengapa dia tidak mempertimbangkan tanggungjawab seorang lelaki dan mengatakan bahawa lelaki dibebankan dengan lebih banyak tanggungjawab dalam Syariat Illahi berbanding dengan wanita?

Sebagai contoh: Ada dua orang, salah seorang dari mereka diberikan tugasan untuk membina bangunan 5 tingkat dan seorang lagi harus membina 10 tingkat; adakah adil jika saya memberikan mereka jumlah bahan binaan dan wang yang sama untuk pembinaan bangunan tersebut? Dan jika saya memberikan orang yang membina 10 tingkat itu dua kali lebih banyak dari orang yang membina 5 tingkat, adakah betul jika dikatakan, "Kamu zalim, mereka berdua bekerja untuk kamu, tetapi kamu tidak memberikan mereka secara sama rata"?

Saya percaya barangsiapa yang mengatakan kaum wanita ditindas oleh undang-undang ini, kata-katanya dan keputusannya adalah mengikut perasaan dan jauh dari kajian saintifik yang tepat.

-------------------------

1 Keratan dari Kitab Jihad Bab al Jannah: Jihad atau berperang untuk meninggikan kalimah Allah dan untuk menyebarkan tauhid dan agama yang Allah SWT redha padanya adalah perjuangan yang ditentukan oleh Allah SWT, dan Dia memerintahkan Mukminin kepadanya dan mewajibkan ke atas mereka, menjanjikan syurga pada sesiapa yang berperang dijalanNya, dan menjanjikan neraka kepada mereka yang berpaling dari jihad. Para Nabi dan Rasul adalah pembawa kalam Allah, dan mereka adalah pemegang panji jihad dan berperang di jalan Allah, dan ini adalah sejarah para Nabi dan Rasul di antara kedua tangan mu, bacalah tentangnya di dalam Taurat, Injil dan Quran, agar kamu mengetahui Moses  juga mengangkat pedang dan bersiap sedia untuk memasuki tanah suci, Joshua Bin Nun  juga mengangkat senjata dan memasuki tanah suci, dan David  juga menghabiskan hari-harinya berperang untuk menegakkan kalimah Allah dan menyebarkan tauhid, dan Jesus  juga menyebut pada pengikutnya:Kemudian Jesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku. (Matthew 16:24)Bermakna Jesus menyeru kepada pemberontakan terhadap kezaliman dan kerosakan, dan beliau memerintahkan pengikut-pengikutnya untuk berjihad dan berperang di jalan Allah. Kayu (salib) di zaman itu adalah seumpama kain kafan di zaman ini, bermakna seolah-seolah Jesus telah mengatakan kepada pengikut-pengikutnya, “Barang sesiapa yang mahu mengikuti aku, biarlah dia mengangkat kain kafannya bersamanya.”Disebutkan di dalam Taurat (Perjanjian Lama) Yoshua bab 10: 34-43[34] Dari Lakhis, Joshuadan tenteranya berangkat pula ke Eglon. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya. [35] Mereka merebut kota itu pada hari itu juga dan membunuh semua orang di situ, seperti yang dilakukan mereka di Lakhis. [36] Dari Eglon, Joshua dan tenteranya berangkat pula ke Hebron, di kawasan perbukitan. Mereka menyerang [37] dan merebut kota itu. Mereka membunuh rajanya serta setiap orang di kota itu dan di kota-kota sekitarnya. Joshua memusnahkan kota itu sama sekali, sebagaimana yang dilakukannya terhadap kota Eglon. Tiada seorang pun dibiarkan hidup. [38] Kemudian Joshua dan tenteranya kembali ke Debir dan menyerang kota itu. [39] Dia merebut kota itu dengan rajanya dan semua kota lain yang di sekitarnya. Mereka membunuh tiap-tiap orang di situ. Joshua memperlakukan Debir dan rajanya seperti dia memperlakukan kota Hebron dan Libna, serta raja-raja di sana. [40] Joshua menakluki seluruh tanah itu. Dia mengalahkan raja-raja di kawasan perbukitan, lereng-lereng bukit di sebelah timur, kaki-kaki bukit di sebelah barat dan juga tanah-tanah kering di sebelah selatan. Dia tidak membiarkan seorang pun hidup; dia membunuh tiap-tiap orang. Itulah perintah TUHAN, Allah Israel. [41] Joshua mengalahkan daerah-daerah dari Kades-Barnea di selatan sampai ke Gaza dekat pantai, termasuk seluruh daerah Gosyen, sampai ke Gibeon di utara. [42] Joshua menaklukkan semua raja itu dan negeri-negeri mereka dengan sekaligus kerana TUHAN, Allah Israel, bertempur untuk Israel. [43] Selepas itu Joshua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal. Ini adalah gambaran salah satu hari di mana Yoshua bin Nun  menghabiskannya dengan jihad dan berperang untuk menegakkan kalimah Allah dan menyebarkan agama Allah dan tauhid di bumi ini.

2 Sebagai contoh di dalam mukadimah kitab The Book Of Faith oleh Paus Shenouda: "Dan kepentingan Mazhab Nicene adalah semua gereja dunia Kristian beriman dengan satu mazhab dan ia adalah undang-undang yang diiktiraf oleh semua gereja. Inilah sebabnya ia harus ditetapkan oleh satu Persatuan yang meliputi semua wakil gereja. Undang-undang yang berada di tangan kita sekarang adalah yang ditetapkan oleh Majlid Nicaea pada 325 Masihi dan ia adalah majlis ekumenikal yang pertama. Dan ia adalah sebagai respon kepada Kontroversi Arian yang menafikan Ketuhanan Jesus . Semua gereja di seluruh dunia, walaupun mereka berbeza pendapat pada sesuatu ideologi, mempercayai semua klausa undang-undang ini. Dan mana-mana kumpulan yang tidak mempercayai mazhab Nicene tidak dianggap sebagai Kristian, seperti Jehovah's Witness dan Adventist yang beriman dengan kitab suci dan dua perjanjian -menurut terjemahan mereka- namun mereka tidak beriman dengan semua ideologi Kristian yang ditetapkan dalam Mazhab Nicene."

3 Merujuk kepada satu ayat dan mengabaikan ayat yang lain juga merupakan perkara yang diberi amaran pada Kristian, dan ulama mereka menolaknya. Atas sebab ini, sebagai contoh, kita mendapati Paus Shenouda III menumpukan sebuah bab khas dalam kitabnya "Keselamatan Dalam Pemahaman Ortodoks", dan nama bab itu adalah "Bahaya Penggunaan Satu Ayat". Bishop Bishoy dari Damietta juga telah melakukan perkara serupa.. Dan berikut adalah teks kata-kata Paus Shenouda: "Di dalam topik Salvation (keselamatan), wahai saudara sekalian, dan juga di dalam topik-topik lain, berhati-hatilah berkaitan bahaya menggunakan satu ayat dari kitab suci. Kitab suci bukan sekadar satu ayat, malah ia adalah ruh yang berjalan pada keseluruhan kitab. Orang yang jahil akan meletakkan dihadapannya satu ayat semata atau sebahagian ayat, memisahkannya dari situasi dan maksud umumnya. Seorang pengkaji yang bijak yang mencari kebenaran, beliau akan mengumpulkan keseluruhan teks yang berkaitan dengan topik kajiannya, dan melihat petunjuknya.

4 Di dalam Kamus Kitab Suci wujud definasi bagi perkataan "bunuh": "Pembunuhan yang dibenarkan: dan pembunuhan adalah dibenarkan atau wajib dalam situasi berikut seperti yang disebutkan berdasarkan peristiwa dari kitab.. dan syariat mewajibkan membunuh musuh dalam peperangan tanpa teragak-agak. Dan beberapa Nabi menggalakkan untuk menghalang sesetengah musuh Allah, iaitu membunuh mereka serta ternakan mereka." Sebagai tambahan, ulama gereja menganggap jihad dan memerangi penjajah serta mempertahankan negara sebagai nilai yang asas dan sudah terbina. Paus Shenouda III berkata: "Dan salah satu dari nilai yang asas dan sudah terbina, yang merupakan kewajiban untuk setiap manusia: cinta pada negara dan mempertahankannya, mempertaruhkan nyawa jika perlu." Artikel: The Values and Principles between Titles and Concepts”, diterbitkan dalam akhbar Al-Ahram, 6 Ogos 2006

5 Dan ini adalah perkara yang diperakui oleh sifat manusia dan semua kitab suci, dan kami telah menyebut beberapa petikan dari Perjanjian Lama yang dipercayai oleh Yahudi dan Kristian, malah ia adalah perkara yang diperakui oleh semua kumpulan masyarakat, samada beragama atau tidak beragama.

6 Di dalam Kitab Perjanjian Lama,[1] Zelafehad mempunyai lima orang anak perempuan: Mahla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza. Bapa Zelafehad ialah Hefer, bapa Hefer ialah Gilead, bapa Gilead ialah Makhir, bapa Makhir ialah Manasye, bapa Manasye ialah Yusuf. [2] Kelima-lima orang anak Zelafehad itu pergi menghadap Musa, Imam Eleazar, para pemimpin Israel, dan segenap umat yang berkumpul dekat pintu Khemah TUHAN. Mereka berkata, [3] “Bapa kami meninggal di padang gurun tanpa mempunyai anak lelaki. Dia bukan pengikut Korah yang memberontak terhadap TUHAN. Bapa kami meninggal kerana dosanya sendiri. [4] Tetapi mengapakah namanya lenyap daripada umat Israel hanya kerana dia tidak mempunyai anak lelaki? Berilah kami bahagian tanah bersama dengan sanak saudara bapa kami.” [5] Musa menyampaikan perkara mereka itu kepada TUHAN, [6] lalu TUHAN berfirman kepadanya, [7] “Permintaan anak-anak perempuan Zelafehad itu memang wajar; berilah mereka tanah bersama dengan sanak saudara bapa mereka. Warisan Zelafehad harus diwariskan kepada semua anak perempuannya. [8] Beritahulah umat Israel bahawa apabila seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, tanah pusakanya harus diwariskan kepada anak perempuannya. [9] Jika dia tidak mempunyai anak perempuan, tanah pusakanya harus diwariskan kepada saudara lelakinya. [10] Jika dia tidak mempunyai saudara lelaki, tanah pusaka itu harus diwariskan kepada saudara lelaki bapanya. [11] Jika dia tidak mempunyai saudara atau bapa saudara, tanah pusaka itu harus diwariskan kepada saudara mara yang terdekat kepadanya.” Umat Israel harus patuh kepada hukum itu, menurut perintah TUHAN melalui Musa.Ini adalah undang-undang pewarisan yang disebutkan di dalam Taurat yang dipercayai oleh Yahudi dan Kristian. Di dalam ayat ini, tiada kesaksamaan antara lelaki dan wanita. Malah, wanita tidak mewarisi jika ada seorang anak lelaki. Father Antonios Fekry berkata, "Dan ada satu undang-undang baru, jika si mati tidak mempunyai anak lelaki, maka anak perempuannya akan mewarisi darinya dan jika si mati tidak punya anak perempuan, maka (yang akan mewarisi adalah) saudaranya atau pakciknya atau yang terdekat dari kalangan keluarganya." The Explanation of the Holy Book, Interpretation of Numbers


7 Walaupun perkara ini sudah jelas, saya sebutkan petikan dari Paus Shenouda III, "Jika kita cari dalam Kitab Suci dan tradisi kuno gereja, kita akan mendapati: 1. Wanita tidak mengajar di gereja, dan berkenaan isu ini, St. Paul Sang Rasul berkata, "Biarkan wanita belajar dalam kesenyapan dan dengan penuh kepatuhan; bagaimanapun; saya tidak membenarkan wanita untuk mengajar atau menjadi dominan ke atas lelaki, mereka harus kekal diam. Kerana Adam diciptakan terlebih dahulu kemudian barulah Hawa. Dan Adam tidak tergoda seperti wanita, jadi Hawa telah melakukan sesuatu yang melampaui batas. Namun beliau akan terselamat dengan melahirkan anak jika beliau tetap dalam keimanan, cinta dan kesucian." Dan kita dapati bahawa ajaran St. Paul sang Rasul mempersembahkan satu justifikasi tentang kekangan ini, yang tidak ada kena mengena keadaan sosial di waktu itu, atau keadaan khusus gereja di waktu itu yang dijaga oleh pelajarnya, Timothy. Sebaliknya, beliau mendasarkan kepada perkara berkaitan lelaki dan wanita sejak dari awal ciptaan..." The Opinion of the Orthodox Church in the Priesthood of the Woman.

8 Soalan Kepada Mereka Yang Menunggu Kemunculan Serentak Yamani, Sufyani dan Khurasani

Keluarnya tiga panji serentak, bukanlah syarat utama untuk mengenali Al Yamani. Saya bercakap tentang hadis berikut yang dijadikan hu...