Monday, May 29, 2017

Posting 16.06.2015: Nasihat Ramadhan



Assalamua'laikum wrh wrb,

Semoga kamu berada dalam keadaan yang bagus dan kesihatan yang baik setiap kali munculnya bulan Ramadhan yang penuh berkah ini. Semoga ibadah puasa kamu diterima dan dosa-dosamu diampuni, Insha Allah.

Pembacaan Al-Quran itu datang seiring dengan ibadah puasa di bulan yang barakah ini, jadi biarlah pembacaan kita dilakukan dengan refleksi, dan mulai dari sekarang, marilah kita cuba beramal dari apa yang ada di dalam Al-Quran.

Allah SWT berfirman:

{Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.} (Quran 5:8)

Bukti bahawa Al-Quran itu datang dari Allah SWT adalah kebijaksanaan yang terkandung di dalamnya. Pada saya, firman Allah SWT untuk {berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa} sudah cukup untuk membuktikan bahawa Quran itu datang dariNya.

{Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.}

Muhammad (S) telah dikelilingi oleh kebencian dan permusuhan daripada kebanyakan orang sekelilingnya, kerana mereka berfikiran bahawa beliau telah datang untuk mengeluarkan mereka daripada kedudukan yang tinggi dan kekuasaan duniawi. Beliau juga telah dikelilingi oleh para munafik yang menunggu-menunggu musibah untuk menimpa beliau. Walaubagaimanapun, kita mendapati bahawa beliau tetap menyeru ayat-ayat yang memerintahkan beliau dan para pengikut beliau untuk sentiasa berlaku adil terhadap musuh-musuh mereka, walaupun ketika berbicara.
{Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.}

Tahukah kamu tentang kebijaksanaan yang terkandung di dalam ayat ini, dan betapa hebatnya makna yang tersirat di dalamnya dalam memerangi keakuan, atau puasa yang berada di tahap yang tertinggi?

Maka bandingkanlah kelakuan-kelakuan kamu dengan ayat ini. Lihatlah kepada diri kamu sendiri dan sikap kamu terhadap mereka yang memusuhi kamu. Apakah arahan yang diberikan oleh jiwamu? Adakah kamu berkelakuan adil terhadap mereka yang memusuhimu? Apakah kamu telah menjauhi daripada perbuatan fitnah terhadap mereka? Apakah kamu telah menceritakan tentang mereka dengan sebenarnya-benarnya? Jika mereka berkelakuan baik, adakah kamu mengatakan bahawa mereka berbuat demikian sebagaimana kamu cuba mencari kesalahan mereka, atau setiap kali kamu membesar-besarkan kesalahan mereka?

Tahukah kamu betapa susahnya untuk berkelakuan seperti apa yang tertera di dalam ayat ini?
Lihatlah bagaimana kebanyakan manusia bertindak terhadap musuh-musuh mereka. Kamu akan mendapati bahawa kebanyakan di antara mereka tidak bersikap toleran terhadap pihak lawan, dan menggambarkan pihak lawan mereka dengan perkataan-perkataan yang penuh dengan keburukan, fitnah dan pembohongan. Apatah lagi terhadap musuh-musuh mereka.

{Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.}

Di bulan Ramadhan ini marilah kita cuba mengerjakan dengan apa yang terkandung di dalam ayat ini, kerana membaca Al-Quran tanpa beramal dengan apa yang diajarnya adalah perbuatan yang sia-sia. Apakah manfaatnya membaca Al-Quran hanya sebagai seorang pemerhati sahaja?
Wahai yang dicintai, membaca ayat-ayatnya sahaja tidak akan membawa sebarang manfaat. Penghafalan Al-Quran, pembawaan Al-Quran dan penghargaan Al-Quran itu terletak pada beramal dengan apa yang diajarkan oleh Al-Quran."

16 Jun 2015

Ahmed Alhasan احمد الحسن

Saturday, May 27, 2017

Keperluan Kepada Doktrin Juru Penyelamat Yang Dinantikan

KEPERLUAN KEPADA JURU PENYELAMAT YANG DINANTIKAN


1 - Agama:

A) ALLAH SWT BERFIRMAN:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
[Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.] (Adh-Dhariyat 51:56)

Di dalam riwayat Ahlulbait as menyebutkan supaya mereka mengenalKu. Peranan utama Juru Penyelamat yang dinantikan adalah untuk mengenalkan Allah swt kepada manusia dan menunjukkan mereka jalan kepada Allah. Beliau adalah bukti Allah dan hujahNya ke atas hamba-hambaNya.

B) RASUL-RASUL AS:
Peranan kedua Juru Penyelamat yang dinanti-nantikan adalah untuk memperkenalkan rasul-rasul kepada manusia dan menjelaskan penindasan terhadap mereka. Bahawa mereka adalah Khalifah-khalifah Allah di muka bumiNya yang dihalang hak mereka dan dibenci warisan mereka.
C) RISALAH-RISALAH:
Peranan ketiga Juru Penyelamat yang dinantikan adalah memperkenalkan risalah-risalah langit dan syariat Allah kepada manusia. Menghapuskan penyelewengan dan kepalsuan daripadanya, sekaligus menyatakan kebenaran, akidah dan Syariat yang diredhai oleh Allah swt.
Kesimpulannya, perkara terpenting yang dibawa oleh juru penyelamat yang dinantikan untuk mereformasi agama adalah ilmu, pengetahuan (makrifat) dan hikmah (dan diajarkan mereka al kitab dan al Hikmah). Telah disebutkan di dalam hadis daripada Imam Sadiq as: “Ilmu itu adalah 27 huruf, keseluruhan apa yang dibawa olehnya Rasul-rasul adalah 2 huruf. Sehingga ke hari ini manusia tidak mengetahui melainkan 2 huruf tersebut. Apabila Qoim kami bangkit, dia akan mengeluarkan lagi 25 huruf lalu menyebarkannya pada manusia dan mencantumkannya lagi 2 huruf sehinggalah dia menyebarkan kesemua 27 huruf.”Mukhtasar Bashair Ad Darajaat, ms 117. Bihar Al Anwar, jilid 52, ms 336

2 - Dunia:


Juru penyelamat yang dinantikan sebagaimana yang dinyatakan oleh semua agama samawi adalah seorang yang akan memenuhkan bumi dengan kesaksamaan dan keadilan, setelah ianya dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Hadis ini adalah sangat masyhur di sisi umat Islam dan ia disebutkan oleh Rasulullah SAW serta Ahlulbaitnya AS. Ianya telah diriwayatkan oleh kedua-dua kelompok Sunni dan Syiah.
Seterusnya, apakah perkara yang terkandung di dalam Ketuanan Allah sehingga menjadi sebab untuk memenuhkan bumi dengan keadilan dan kesaksamaan? Sebelum saya membahaskan topik yang amat penting ini, saya ingin menjelaskan perkara yang tidak kurang pentingnya, bahkan amat perlu untuk membahaskan topik ini. Sesungguhnya, kita sebagai Shiah Islam dan berdasarkan kenyataan daripada Rasulullah SAW serta Ahlulbaitnya berkenaan tanda-tanda kemunculan dan kebangkitan Juru Penyelamat yang dinantikan, bersetuju bahawa hari ini adalah hari-hari kemunculan dan kebangkitan beliau AS. Kami sememangnya tidak pernah mempedulikan orang yang berusaha membuta-tuli dan tidak pernah melihat riwayat-riwayat. Tambahan pula, orang-orang Kristian di seluruh dunia juga menganggap hari ini sebagai hari-hari kemunculan dan kebangkitan juru Penyelamat yang dinantikan di sisi mereka iaitu Isa AS. Malah, saya telah membaca sebuah buku yang ditulis oleh seorang paderi Kristian yang hidup di pertengahan kurun lalu, yang menganggap bahawa tanda-tanda bagi kemunculan dan Kiamat kecil telah pun bermula di Alam Malakut.
Manakala, bagi orang-orang Yahudi pula, mereka menganggap hari ini sebagai hari kiamat kecil. Malah, kebanyakan pendeta mereka mengesahkan bahawa hari ini adalah hari-hari kembalinya Ilya AS dan kemunculan Juru Penyelamat alam. Tidak beberapa lama dahulu, sekumpulan mereka telah menyebarkan risalah yang dibuang dari kapal terbang kepada umat Islam di Palestin, menuntut supaya mereka meninggalkan tanah suci kerana masa telah tiba untuk kiamat kecil. Sesungguhnya hari ini adalah hari-hari terakhir dan setelah itu tidak akan tinggal di dalam tanah suci melainkan orang-orang yang soleh. Menurut kepercayaan Yahudi, mereka adalah orang-orang yang soleh.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa semua penganut-penganut agama yang berpegang dengan apa yang disebut atau dibenarkan dalam kitab-kitab mereka oleh nabi-nabi as. Kesemuanya mengakui bahawa inilah hari kiamat kecil dan kemunculan Juru Penyelamat Dunia yang dinantikan AS. Sekiranya, hari ini adalah hari kemunculannya serta dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan kesaksamaan setelah sebelumnya ianya dipenuhi dengan kezaliman dan ketidakadilan, maka jelaslah bagi kita bahawa bumi pada hari ini sememangnya dipenuhi dengan ketidakadilan dan penindasan.
Di sini timbul dua persoalan:
Telah diriwayatkan dari jalan Syiah: Daripada Abu Bashir, daripada As Sadiq Ja’afar bin Muhammad, daripada bapa-bapanya AS, telah berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Mahdi adalah daripada anak keturunanku, namanya adalah namaku, gelarannya adalah gelaranku, rupa dan akhlaknya paling menyerupaiku di kalangan manusia, baginya akan terjadi keghaiban dan kehairanan sehingga manusia tersesat daripada agama-agama mereka, dan di ketika itu dia disambut bagaikan bintang yang terang benderang, yang akan memenuhkan bumi dengan kesaksamaan dan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan.” Al Imamah wa At Tabshirah: ms 119.

Pertama: Dengan apa dunia dipenuhi dengan kezaliman dan ketidakadilan? Jawapan kepada soalan ini telah dijelaskan sebelum ini dan saya akan menjelaskannya lagi kemudian nanti.
Kedua: Dengan apa dunia akan dipenuhi dengan kesaksamaan dan keadilan? Inilah perkara yang saya hendak mula menjelaskannya, sambil menggariskan sebahagian perkara yang terkandung di dalam Ketuanan Allah swt yang menjadi sebab musabab untuk mengisi bumi dengan keadilan.

1 - Undang-undang (Perlembagaan umum dan lain-lain):
Allah jualah yang menetapkan undang-undang dan Dia adalah Pencipta dunia ini serta segala yang terkandung di dalamnya. Dia mengetahui apa yang terbaik buat penduduk dan hidupan dunia ini dari kalangan manusia, jin, haiwan, tumbuhan dan makhluk-makhluk lain samada yang kita kenal ataupun tidak. Dia juga Mengetahui masa lalu, masa kini dan masa depan. Mengetahui apa yang baik untuk tubuh badan dan jiwa manusia, serta apa yang terbaik buat bangsa manusia secara keseluruhannya. Maka, undang-undang itu wajib menjaga masa lalu, masa kini, masa depan, tubuh badan, jiwa manusia, kepentingan individu, kepentingan masyarakat dan kepentingan makhluk lainnya. Bahkan Undang-undang ini juga wajib menjaga hattakan objek-objek tidak bernyawa (jamad) seperti tanah, air, alam sekitar dan lain-lain.
Oleh itu, mampukah selain daripada Allah untuk mengetahui semua butiran ini secara terperinci, sedangkan kebanyakan daripadanya adalah ghaib daripada jangkauan dan pengetahuan makhluk, yang bermakna tidak mungkin bagi kita mengetahui dan mengenali sifat-sifatnya serta lain-lain lagi.
Walaupun, kita menetapkan bahawa ada seorang yang mampu mengetahui semua butiran ini, maka bagaimanakah dia mampu menggubal undang-undang yang menjaga semua perincian ini, kerana sesetengahnya saling bercanggah antara satu sama lain di alam realiti, maka di manakah kebaikannya? Dan apakah sumber penggubalannya?
Sudah tentunya ianya tidak akan berlaku melainkan dengan undang-undang Allah dan syariat dari langit, kerana yang menggubalnya adalah Pencipta segala makhluk. Dia mengetahui segala rahsia yang tersembunyi. Dia mampu melaksanakan setiap perkara sebagaimana yang dikehendakiNya dan Dia Maha Suci lagi Maha Tinggi daripada sesuatu yang mereka sekutui.
2 - Raja atau Pemerintah:
Tidak dinafikan bahawa kepimpinan, tidak kira apa jua bentuk sekalipun akan memberi kesan secara langsung kepada masyarakat manusia. Samada di bawah ketuanan manusia (diktator atau demokrasi) kerana masyarakat manusia dipaksa untuk mematuhi kepimpinan ini secara semula jadi. Atau di bawah Ketuanan Allah kerana manusia juga diciptakan secara semula jadinya untuk mengikuti pemimpin tertentu yang dilantik oleh Allah swt.

فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفً۬اۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡہَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ
[Tetaplah atas] fithrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fithrah itu. Tidak ada perubahan pada fithrah Allah. [Itulah] agama yang lurus.] Surah Ar-Rum 30 : 30
Pemimpin ini adalah wakil Allah dan khalifahNya di muka bumiNya. Apabila wakil Allah tersingkir daripada haknya dan cerminan fitrah manusia menjadi berserabut dengan kegelapan hidup di dunia ini, maka manusia akan menerima apa jua kepimpinan sebagai ganti wakil Allah dan hujjahNya ke atas hamba-hambaNya, untuk mengempang kekurangan yang terdapat di dalam dirinya. Walaupun, kepimpinan gantian ini terbukti menyongsang dan memusuhi wakil Allah di muka bumiNya serta hujjahNya ke atas hamba-hambaNya.
Kebiasaannya manusia mematuhi kepimpinan yang digambarkan sebagai pemerintah dan kepimpinan itu tidak akan berlaku melainkan berdasarkan salah satu daripada dua perkara ini. Iaitu berdasarkan wakil Allah dan hujjah-Nya ke atas hamba-hambaNya, yang merupakan pemerintah yang dilantik oleh Allah (SWT), atau orang lain. Samada dia seorang diktator yang mendapat kekuasaan melalui kekerasan dan penindasan, atau pemimpin yang dipilih melalui cara pilihanraya demokratik yang bebas. Pemerintah yang dilantik oleh Allah bertutur bagi pihak Allah kerana dia hanya berkata apa yang diperintahkan kepadanya serta tidak mendahului dan membelakangkan sesuatu melainkan dengan perintah Allah.
Manakala, bagi pemerintah yang dilantik oleh manusia atau yang menguasai mereka, dia pastinya tidak bercakap bagi Allah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: (Barangsiapa yang mematuhi seorang jurucakap, maka dia telah menyembahnya. Oleh itu, jika jurucakap itu sedang menuturkan daripada Allah, maka dia telah menyembah Allah. Dan sekiranya, jurucakap itu menuturkan daripada syaitan, maka dia telah menyembah Syaitan).Al Kafi, jilid 2, ms 434. 'Uyoon Akhbar Ar-Ridha, jilid 2, ms 272


Oleh itu, tidak wujud jurucakap ketiga melainkan jurucakap Allah dan jurucakap syaitan. Mana-mana pemerintah selain daripada wakil Allah dan hujjahNya ke atas hamba-hambaNya adalah jurucakap syaitan dalam apa bentuk sekalipun, dan setiap satunya menurut kadar kebatilan yang dibawanya. Dalam hal ini, Ahlulbait AS berkata: (Sesungguhnya setiap panji yang ditegakkan sebelum Qoim adalah panji taghut) iaitu merujuk kepada setiap pemilik panji yang tiada kaitan dengan Qoim as.


Oleh itu, pemerintah yang dilantik oleh Allah swt menuturkan daripada Allah SWT dan pemerintah yang tidak dilantik oleh Allah menuturkan daripada syaitan. Tepat sekali, bahawa jurucakap Allah membawa agama serta dunia ini ke jalan yang benar, dan jurucakap syaitan membawa kerosakan kepada kedua-dua agama dan dunia.
Tambahan pula, Allah mengetahui apa yang ada dalam jiwa-jiwa dan Dia mengetahui orang yang baik dari orang yang buruk. Dia memilih wakil dan khalifahNya, serta mengistimewakan dia daripada umat manusia. Dia tidak menjadikannya melainkan yang terbaik dari kalangan makhlukNya, paling utama, paling baik, paling bijaksana dan paling berpengetahuan di bumi ini. Allah memeliharanya daripada kesilapan dan kesalahan serta meluruskannya untuk melakukan kebaikan dan reformasi.
Walau bagaimanapun, jika manusia membantah perlantikan Allah SWT, mereka hanya memilih makhluk Allah yang paling jahat. Bahkan, Nabi Musa AS seorang nabi maksum yang telah memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya, yang dia percaya mereka adalah terbaik. Tetapi kemudiannya ternyata menyedari bahawa kesemua mereka adalah orang yang berbuat kerosakan. Perlu diambil sebagai pengajaran serta peringatan buat orang yang ingat dan sebagai tanda buat mereka yang mempunyai pendengaran dan penglihatan.

3 - Undang-undang dan pemerintah di dalam Ketuanan Allah berkekalan mendapat manfaat dengan kesempurnaan dan pemeliharaan (ismah).
Kepentingan hal- ehwal semasa rakyat diaturkan dari segi politik, ekonomi dan sosial, kerana semua aspek ini bergantung kepada undang-undang yang mengaturkannya dan pemerintah yang melaksanakannya. Oleh itu, apabila undang-undang yang tertegak adalah daripada Allah, maka aturan atau sistem dalam kesemua aspek ini akan menjadi yang terbaik dan paling sempurna. Apabila pemerintah juga adalah wakil Allah dan hujjah Allah di muka bumi-Nya, serta yang terbaik dari kalangan makhluk-Nya, maka pelaksanaan undang-undang Allah akan menjadi sempurna, lengkap dan mempunyai gambaran yang terbaik.
Kesimpulannya, jika ummah menerima ketuanan Allah di muka bumi-Nya, ummah akan mencapai kejayaan dengan sebaik-baiknya dalam agama dan dunia, serta kebahagian anak-anak mereka di dunia dan di akhirat. Jika ummah menerima ketuanan Allah di muka bumiNya, maka akan diangkat naik dari kalangan mereka sebaik-baik perkara yang pernah diangkat naik dari bumi ke langit, iaitu penerimaan kekuasaan wali Allah dan keikhlasan kepadaNya. Dia akan menurunkan ke atas ummah sebaik-sebaik perkara yang pernah diturunkan daripada langit ke bumi iaitu taufik daripada Allah swt. Umat ini juga akan menjadi sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan buat manusia keseluruhannya, kerana ia telah menerima wali Allah dan khalifahNya di muka bumiNya.

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ

[Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan [ayat-ayat Kami] itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.] Surah Al A’raaf 7: 96

Ummah akan mendapat kelebihan berdasarkan kadar penerimaan mereka terhadap khalifah Allah di muka bumiNya dan kepatuhan mereka terhadap arahan-arahannya. Oleh yang demikian, ummah yang menerima Imam Mahdi AS adalah sebaik-sebaik umat yang pernah dihasilkan buat manusia.

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

[Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar.] Surah Aali Imran 3:110

Mereka adalah 313 sahabat Qoim (Imam Mahdi AS) dan pengikut-pengikut mereka. Namun, sekiranya ummah menolak wakil dan khalifah Allah di muka bumiNya, ia telah melakukan kebodohan yang amat besar dan juga kerugian di dunia serta di akhirat. Iaitu kerendahan dan kehinaan di dunia dan seburuk-buruk tempat di akhirat adalah neraka jahanam.
Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak fikir terdapat orang yang beriman kepada Allah, tetapi dalam masa yang sama meyakini bahawa undang-undang yang digubal oleh manusia adalah lebih baik daripada undang-undang Allah dan pemerintah yang dilantik oleh manusia adalah lebih baik daripada pemerintah yang dilantik oleh Allah swt.
Segala puji semata-mata hanya bagi Allah.

وَإِذَا رَأَوۡكَ إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلَّا هُزُوًا أَهَـٰذَا ٱلَّذِى بَعَثَ ٱللَّهُ رَسُولاً . إِن ڪَادَ لَيُضِلُّنَا عَنۡ ءَالِهَتِنَا لَوۡلَآ أَن صَبَرۡنَا عَلَيۡهَاۚ وَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ حِينَ يَرَوۡنَ ٱلۡعَذَابَ مَنۡ أَضَلُّ سَبِيلاً

[Dan apabila mereka melihat kamu, mereka hanyalah menjadikan kamu sebagai ejekan [dengan mengatakan]: "Inikah orangnya yang diutus Allah sebagai Rasul? Sesungguhnya hampirlah ia menyesatkan kita dari sembahan-sembahan kita, seandainya kita tidak sabar [menyembah] nya" Dan mereka kelak akan mengetahui di saat mereka melihat azab, siapa yang paling sesat jalannya.] Surah Al-Furqan 25:41-42
Yang berdosa lagi kekurangan,

Ahmad Al-Hasan, Jamadil Awal 1425 Hijrah.

Lawan Kepada Doktrin Demokrasi


LAWAN KEPADA DOKTRIN DEMOKRASI (DOKTRIN SANG PENYELAMAT YANG DINANTIKAN)


Semua agama Allah mengiktiraf Ketuanan Allah swt. Namun, manusia telah menolak Ketuanan ini dan tidak mengakuinya melainkan sedikit, seperti kaum Nabi Musa AS di era Thalut atau umat Islam di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi, sebaik sahaja Rasulullah SAW wafat, mereka kembali menyanggah Ketuanan Allah swt dan mengiktiraf ketuanan manusia melalui shura, pilihan raya dan Saqifat Bani Saidah yang menyingkirkan wasi Ali bin Abi Talib AS.

Semua manusia kini samada mereka ulama atau orang awam biasa menyokong ketuanan manusia dan pilihanraya. Walaupun, majoriti mereka masih mengakui bahawa khalifah Allah di bumi adalah seorang pemerintah yang soleh. Tetapi pengakuan ini masih lemah, doktrin yang dikalahkan dalam kegawatan perang psikologi antara kesedaran dan ketidaksedaran. Manusia terutamanya para ulama pasif, hidup dalam kepura-puraan dengan penuh resah gelisah di tempat tidur mereka, menjadikan mereka terhuyung-hayang mabuk dan memukul membuta tuli. Mereka sedar bahawa Allah adalah benar, ketuanan Allah adalah benar dan ketuanan manusia adalah batil, serta bertentangan dengan ketuanan Allah di atas muka bumiNya. Namun, mereka tetap tidak bersama-sama dengan kebenaran, malah menyokong kebatilan.

Mereka adalah ulama akhir zaman iaitu sejahat-jahat fuqaha di dunia ini, daripada merekalah keluarnya fitnah dan kepada mereka jualah fitnah itu dikembalikan. Sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW: [Akan datang zaman ke atas umatku, di mana tidak bersisa daripada al-Quran itu melainkan tulisannya dan tidak juga daripada Islam itu melainkan namanya. Mereka menamakan diri dengannya tetapi mereka adalah sejauh-jauh manusia daripadanya, masjid mereka makmur tetapi kosong daripada petunjuk, fuqaha pada zaman itu adalah sejahat-jahat fuqaha di bawah lindungan langit, daripada mereka keluarnya fitnah dan kepada mereka jualah fitnah itu kembali.] Al Kafi, jilid 8, ms 308 dan Bihar Al Anwar, jilid 52, ms 190.

Seolah-olah mereka tidak pernah mendengar kata-kata Amirul Mukminin AS: [Janganlah kamu mengasingkan diri dari jalan petunjuk disebabkan sedikitnya orang yang mengikutinya.] Nahjul Balaghah bi syarh Syeikh Muhammad Abduh, jilid 2, ms 181. Al Gharaat, jilid 2, ms 583. Ghaibat An Nu'mani,

Seolah-olah mereka juga tidak pernah mendengar sabda Rasulullah SAW: [Islam itu telah bermula dengan asing dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula, maka kebaikanlah buat orang-orang yang asing (ghuraba’).] Nailul Authar, jilid 9, ms 229. 'Uyun Akhbar Ar Ridha (a.s), jilid 1, ms 218.

Demi Allah, mereka pernah mendengar kata-kata tersebut dan menyedarinya , tetapi kemanisan dunia melekat di mata mereka dan mereka amat sukakan perhiasannya. Mereka berkumpul di sekeliling bangkai dan mengaibkan diri mereka untuk memakannya. Mereka bertungkus lumus sedaya upaya, namun tidak memperolehi apa pun selain menuntut dunia melalui agama. Mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ulama Shiah Islam akhirnya hanya menyalahgunakan kesucian Amirul Mukminin AS, menambah luka baru dan membuatkan hatinya bengkak serta berdarah kembali. Oleh itu, imam-imam kesesatan iaitu para ulama pasif telah mengulangi kembali tragedi Saqifat Bani Sa`idah, sepertimana hari pertama ianya berlaku. Mereka juga telah membuka jalan untuk meremukkan sekali lagi rusuk Fatimah Zahra` AS. Tetapi kali ini terhadap Imam Mahdi AS, kerana harinya adalah seperti hari Rasulullah SAW dan keturunannya adalah seperti keturunan Rasulullah saaw.

Kelmarin, Ali AS serta anak keturunannya, manakala, pada hari ini pula Imam Mahdi AS dan anak keturunannya. Apakah orang yang berakal tidak mahu menyelamatkan dirinya daripada api neraka, melarikan diri daripada cengkaman kafir Quraish zaman ini dan melindung dirinya, dengan mematuhi Awliya Allah?

Jangan biarkan syaitan (laknat Allah ke atasnya) menipu kalian, membuatkan kalian mensucikan ulama pasif yang memerangi Allah serta Rasul-Nya, dan menyelewengkan syariatNya. Bandingkan kata-kata dan perbuatan-perbuatan mereka dengan al-Quran, sunnah Nabi dan Ahlulbait AS, pasti kalian akan dapati bahawa mereka berada di satu lembah yang benar-benar bertentangan dengan Rasul dan al-Quran. Mereka dilaknati sepertimana Rasulullah SAW telah melaknati mereka dan berlepas diri daripada mereka, ketikamana baginda bersabda kepada Ibnu Mas'ud:

[Islam itu telah bermula dengan asing dan akan kembali asing sepertimana ia bermula, maka kebaikanlah buat orang-orang yang asing (ghuraba). Mereka yang menyaksikan zaman itu (masa kemunculan Imam Mahdi a.s) adalah dari keturunan-keturunan kamu, jangan diberi salam ke atas mereka dalam perkumpulan mereka, jangan diiringi jenazah-jenazah mereka, dan jangan dikunjungi pesakit-pesakit mereka. Mereka mengamalkan sunnah kamu dan menzahirkan seruan kamu, tetapi bertentangan dengan perbuatan kamu. Mereka akan mati atas agama yang berbeza daripada kamu. Mereka bukanlah dari kalanganku dan aku bukanlah dari kalangan mereka …

Kemudian beliau (Nabi SAW) bersabda: Wahai Ibnu Masud, akan datang satu zaman apabila orang yang bersabar (berpegang) kepada agama adalah seperti menggenggam bara api dalam tapak tangannya. Sekiranya ada seekor serigala di zaman itu, maka dia tidak akan terlepas dari dimakan oleh sekumpulan serigala. Wahai Ibn Masud, ulama dan fuqaha mereka adalah pengkhianat yang keji, bahkan, mereka adalah sejahat-jahat ciptaan Allah dan begitu juga pengikut mereka. Barangsiapa yang berurusan dengan mereka, mencintai mereka, duduk dengan mereka dan bermusyawarah dengan mereka adalah sejahat-jahat ciptaan Allah. Mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka dalam keadaan bisu, pekak dan buta serta tidak akan kembali. Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat dalam keadaan wajah mereka buta, pekak dan bisu serta ditempatkan mereka di dalam neraka jahanam. Setiap kali api mula padam, kami akan tambahkannya bernyala-nyala dan setiap kali kulit mereka masak, kami akan gantikan mereka dengan kulit yang lain supaya mereka merasai kepedihan azab siksaan. Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak, hampir-hampir [neraka] terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali mereka ingin keluar daripadanya akibat terlalu panas, maka mereka akan dilemparkan kembali di dalamnya dan dikatakan kepada mereka rasailah azab siksa yang membakar. Mereka merintih di dalam api neraka dan mereka yang berada di dalamnya tidak dapat mendengar.
Wahai Ibn Masud, mereka mendakwa bahawa mereka mengikut agamaku, sunnahku, manhajku dan syariatku. Namun, sesungguhnya mereka berlepas diri daripadaku dan aku berlepas diri daripada mereka.

Wahai Ibn Masud, janganlah kamu duduk bersama mereka di tempat awam, janganlah kamu berjualbeli dengan mereka di pasar, janganlah kamu menunjukkan jalan kepada mereka dan menawarkan mereka air minuman. Allah Taala berfirman:

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ


“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan.”  Surah Hud: 15

Allah Taala juga berfirman:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلۡأَخِرَةِ نَزِدۡ لَهُ ۥ فِى حَرۡثِهِۦۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡہَا وَمَا لَهُ ۥ فِى ٱلۡأَخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ


[Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.] Surah ash-Shura: 20

Wahai Ibn Masud, alangkah hebatnya permusuhan, kebencian dan perselisihan yang datang dari umatku. Mereka adalah sehina-hina umat ini di dunia. Demi Dia yang mengutuskanku dengan kebenaran, Allah akan menenggelamkan mereka dan mengubah mereka menjadi kera dan babi.

Kemudian dia (Ibnu Mas'ud) berkata: Rasulullah SAW menangis dan kami juga menangis disebabkan tangisannya, dan kami berkata: Wahai Rasulullah, apa yang membuatkan kamu menangis? Baginda menjawab:

Kerahmatan bagi orang-orang yang sengsara, Allah Taala berfirman:

وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذۡ فَزِعُواْ فَلَا فَوۡتَ وَأُخِذُواْ مِن مَّكَانٍ۬ قَرِيبٍ۬

[Dan [alangkah hebatnya] jika kamu melihat ketika mereka terperanjat ketakutan; maka mereka tidak dapat melepaskan diri dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat.] Surah Saba’ 34 : 51

Ayat ini merujuk kepada para ulama dan fuqaha.

Wahai Ibnu Masud: Barangsiapa yang belajar ilmu kerana mahu mendapatkan dunia dengannya, dan barangsiapa yang terkesan dengan kecintaan dunia serta perhiasannya, maka dia berhak mendapat kemarahan Allah ke atasnya dan dia akan ditempatkan di neraka yang paling bawah bersama-sama dengan orang-orang Yahudi dan Kristian yang mengabaikan Kitab Suci Allah. Dalam hal ini, Allah Taala berfirman:

قَبۡلُ يَسۡتَفۡتِحُونَ عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَلَمَّا جَآءَهُم مَّا عَرَفُواْ ڪَفَرُواْ بِهِۦۚ فَلَعۡنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ

[Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya, mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.] Surah Al Baqarah 2: 89

Wahai Ibnu Masud: Barangsiapa yang belajar al-Quran untuk kepentingan dunia dan perhiasannya, maka Allah mengharamkan ke atasnya syurga.

Wahai Ibnu Mas'ud: Barangsiapa yang belajar ilmu tetapi tidak melaksanakan apa yang dipelajarinya, maka Allah akan menghimpunkannya pada hari kiamat sebagai buta. Barangsiapa yang belajar ilmu kerana riya' dan kemasyhuran, serta berkehendakkan tujuan duniawi dengannya dan mewakilkan Allah kepada dirinya sendiri, maka Allah menarik balik keberkatannya dan disempitkan kehidupannya.

Barangsiapa yang mewakilkan Allah kepada dirinya sendiri, maka dia telah binasa. Dalam hal ini, Allah Taala berfirman:

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا

[Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.] Surah Al Kahf 18: 110

Wahai Ibnu Mas'ud: Jadikanlah teman dudukmu orang-orang yang taat dan saudara-saudara kamu orang-orang bertaqwa dan zuhud, kerana Dia swt berfirman di dalam kitabnya:

ٱلۡأَخِلَّآءُ يَوۡمَٮِٕذِۭ بَعۡضُهُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلۡمُتَّقِينَ

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa.” Surah Az Zukhruf 43: 67

Wahai Ibnu Mas'ud, aku tahu bahawa mereka melihat kebaikan sebagai kemungkaran, dan kemungkaran sebagai kebaikan, maka pada yang demikian itu, Allah telah mengecop hati-hati mereka dan tidak menjadikan mereka saksi kepada kebenaran mahupun penegak keadilan, Allah Taala berfirman:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُہَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٲلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.” Surah An-Nisa 4: 135

Wahai Ibnu Mas'ud: Mereka mendakwa lebih utama terhadap keturunan dan harta benda mereka .......). lzaam An-Naaseb, jilid 2, muka surat 131-132.

Beginilah keadaan para ulama pasif berdasarkan sabda Rasulullah SAW, kerana mereka mendakwa diri mereka adalah orang Islam dan Syiah, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengiktiraf penyingkiran Ali AS dan menzalimi Ali AS. Maka, laknat Allah ke atas setiap orang yang sesat lagi menyesatkan, yang melantik dirinya sebagai imam bagi manusia serta berhala dan tuhan yang disembah selain Allah.

Amat mustahak bagi manusia keseluruhannya menjauhkan diri mereka daripada mengikuti para ulama pasif, kerana mereka mengiktiraf ketuanan manusia, pilihan raya dan demokrasi yang dibawa oleh Amerika (Dajjal Akbar). Hendaklah umat manusia mengakui ketuanan Allah dan mengikut Imam Mahdi AS jika tidak, apakah yang akan mereka katakan kepada nabi-nabi dan imam-imam mereka? Ianya bukan rahsia lagi bahawa semua agama samawi mengiktiraf ketuhanan Allah dan menolak ketuanan manusia. Tiada lagi alasan buat sesiapa pun untuk mengikuti para ulama setelah mereka bertentangan dengan Al-Quran, Rasulullah dan Ahlulbait AS, serta menyelewengkan syariat Allah swt.

Mereka adalah fuqaha akhir zaman yang menentang Imam Mahdi AS Apakah masih ada alasan untuk mana-mana pengikut mereka, setelah mereka mengikuti jejak Iblis (laknat Allah ke atasnya) dan mengiktiraf ketuanan manusia?!!

Malah semua agama samawi mengiktiraf ketuanan Allah. Orang-orang Yahudi menantikan Ilya AS, orang-orang Kristian menantikan Isa AS dan umat Islam menantikan Imam Mahdi AS. Adakah orang-orang Yahudi akan berkata kepada Ilya AS: Pulanglah! kami mempunyai pilihan raya dan demokrasi, ianya adalah lebih baik daripada pelantikan Allah?! Penganut Kristian pula akan berkata kepada Isa AS: Wahai, kamu yang menunggang keldai, memakai pakaian bulu, makan sedikit dan zuhud pada dunia, pulanglah! Kami telah memilih ketua-ketua dan sedang puas menikmati kehidupan berpanjangan, menerima halal dan haramnya, ianya bersesuaian dengan nafsu dan keinginan kami?!

Adakah umat Islam terutamanya Shiah akan berkata kepada Imam Mahdi as: Pulanglah! wahai anak Fatimah, kami telah mendapat penyelesaian terbaik dari fuqaha kami iaitu demokrasi dan pilihan raya?! Selain itu, adakah pentaklid para fuqaha akhir zaman akan berkata kepada Imam Mahdi AS: Fuqaha kami telah menjelaskan bahawa kebenaran itu adalah melalui Shura, Saqifah dan pilihan raya?!

Adakah akhirnya mereka akan berkata: Sesungguhnya orang-orang di Saqifah adalah benar dan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib AS adalah seorang yang fanatik?! Atau, apakah yang akan mereka katakan dan bagaimana mereka akan menyelesaikan percanggahan ini yang mereka sendiri berada di dalamnya?!

Saya tidak berkata kepada para fuqaha melainkan menurut pendapat yang lazim terhadap mereka, jika saya tidak menganggap mereka sebagai fuqaha menurut apa yang dikatakan oleh orang kebanyakan Iraq iaitu: (ِDia adalah agama dan bukan tanah lumpur), manakala kalian pula menyamakannya sebagai tanah lumpur dengan tanah lumpur.

Kami Syiah, menentang Umar Ibn al-Khattab kerana beliau telah menganjurkan shura dan pilihan raya. Manakala kalian pula, wahai fuqaha akhir zaman mengakui Shura dan pilihan raya. Ianya sudah menjadi terbalik?!

Walaupun demikian,Taurat dan Injil yang wujud kini, kedua-duanya mengakui Ketuanan Allah di atas muka bumiNya dan bukannya ketuanan manusia. Kedua-duanya adalah kitab dari langit yang dianggap sebagai bukti nyata bagi orang-orang Yahudi dan Kristian. Ahli-ahli teori demokrasi Barat telah bekerja keras menyangkal ayat-ayat yang wujud di dalam Taurat, malah sebahagian mereka cenderung membenarkan penyelewengannya, seperti Spinoza di dalam bukunya Theologial-Political Treatise, berusaha melupuskan ayat-ayat yang mengesahkan ketuanan Allah di muka bumiNya dan menolak ketuanan manusia.

Adapun, al-Quran dari halaman pertama hingga yang akhir mengakui Ketuanan Allah dan menolak ketuanan manusia. Kami tidak berminat dengan kefahaman menyeleweng dari kalangan mereka yang ingin memutarbelitkan perkataan-perkataan Allah sesuka hatinya bagi mempertahankan orang tertentu atau keyakinan orang tertentu, beserta kerosakan yang mereka pertahankan dan kepalsuan yang mereka percayai, kerana kerosakan ini adalah jelas dan tidak memerlukan banyak usaha untuk mengetahuinya.

Pertama, kita mulakan dengan ayat-ayat yang menetapkan Ketuanan Allah di atas muka bumiNya:




1. Firman Allah Taala:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍإِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


[Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.]  (Surat Aal ‘Imraan 3:26)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa pemerintahan adalah bagi Allah dan Dia Maha Kuasa mengangkat sesiapa yang dikehendakiNya sebagai Khalifah. Allah Taala berfirman:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ

[Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.] Surah Al-Baqarah:30

Sesudah ayat ini, tiada siapa pun berhak melantik seorang pemerintah atau memilih seorang pemerintah atau penguasa, selagimana dia tidak dilantik oleh Allah swt. Pemerintahan atau Ketuanan Allah ini diberikan kepada siapa yang dikehendakiNya. Tidak semestinya pemerintah yang dilantik oleh Allah, memerintah secara aktual, kerana dia mungkin dikalahkan dan dijauhkan dari tampuk pemerintahan, sebagaimana yang terjadi di sepanjang perjalanan sejarah manusia. Ibrahim AS tidak memerintah tetapi Namrud (laknat Allah ke atasnya) yang memerintah. Musa AS tidak memerintah tetapi Firaun (laknat Allah ke atasnya) yang memerintah. Hussain AS tidak memerintah tetapi Yazid (laknat Allah ke atasnya) yang memerintah. Sebagaimana firman Allah Taala:

أَمۡ يَحۡسُدُونَ ٱلنَّاسَ عَلَىٰ مَآ ءَاتَٮٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۖ فَقَدۡ ءَاتَيۡنَآ ءَالَ إِبۡرَٲهِيمَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَءَاتَيۡنَـٰهُم مُّلۡكًا عَظِيمً۬ا

[Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Muhammad dan Keluarga Muhammad) disebabkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab dan hikmat dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.] Surah An-Nisa 4: 54

Tambahan pula, keluarga Ibrahim AS telah diberikan pemerintahan dan kekuasaan Ilahi di sepanjang sejarah. Tetapi mereka telah ditindas, ditewaskan dan dijauhkan daripada tampuk kekuasaan serta mereka diperintah oleh orang-orang yang zalim. Manusia wajib meletakkan khalifah Allah di muka bumiNya ke atas tampuk kepimpinan. Jika mereka tidak berbuat demikian, maka mereka telah mensia-siakan peluang mereka dan hanya mengundang kemurkaan Allah terhadap mereka.

Imam Sadiq (a.s) berkata: (... “Adakah kamu tidak melihat Allah berfirman kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Dia berfirman : bahawa bukan kamu yang menetapkan seorang Imam untuk diri kamu sendiri dan menamakannya sebagai layak menurut hawa nafsu dan keinginan kamu sendiri.

Kemudian Al-Sadiq (a.s) berkata: [Terdapat tiga jenis orang yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka dan tidak memandang mereka pada hari kiamat, serta tidak membersihkan mereka dan bagi mereka azab siksaan yang pedih: Orang yang menumbuhkan pokok yang Allah tidak pernah menumbuhkannya iaitu mereka yang menetapkan seorang imam yang tidak pernah ditetapkan oleh Allah, atau mereka yang menentang orang yang dilantik oleh Allah.] Tuhaf al-Uqul, halaman 325

2 - Kisah Talut:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الْمَلَإِ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ مِن بَعْدِ مُوسَىٰ إِذْ قَالُوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُّقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّ

[Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: Lantiklah seorang raja untuk kami supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah.]  Surah Al-Baqarah: 246

Inilah kelompok orang-orang beriman daripada Bani Israel yang beriman kepada Ketuanan Allah. Sesungguhnya, mereka tidak melantik sesiapa sebagai pemerintah mereka, bahkan, meminta pula kepada Allah supaya melantik seorang raja buat mereka. Ia adalah bukti terbesar bahawa undang-undang Allah dalam semua agama suci mengakui pemerintah yang dilantik oleh Allah dan bukan oleh rakyat melalui pilihan raya.

3 - Firman Allah:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ

[Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.]Surah Al Baqarah 2: 30

Wajib menjadikan khalifah Allah sebagai pemerintah di muka bumi dan khalifah pertama adalah Adam AS. Di setiap zaman, wujud Khalifah Allah di muka bumiNya dan Khalifah Allah di zaman ini adalah Imam Mahdi AS.

Oleh itu, wajib bagi manusia memperkasakannya di atas tampuk pemerintahan, kerana dia adalah lantikan Allah swt dan tidak bertindak menentangnya melalui pilihan raya serta demokrasi.

4 - Firman Allah Taala:

وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ

[Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.] Surah Al-Maidah 5:44

Firman-Nya lagi:

وَمَن لَّمۡ يَحۡڪُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
[Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”Surah Al-Maidah: 45

Dan Firman-Nya lagi:

وَمَن لَّمۡ يَحۡڪُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

[Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.] Surah Al-Maidah: 47


Nyata sekali bahawa pemerintah akan berhadapan dengan permasalahan-permasalahan baru pada setiap zaman. Dia mestilah mempunyai petunjuk yang betul dan ilmu daripada Allah, melaluinya dia mengetahui hukum-hakam Allah swt pada perkara-perkara baru. Oleh itu, bagaimana seseorang yang selain daripada Khalifah Allah dapat menghukum berdasarkan apa yang telah diturunkan oleh Allah? Yang pastinya, Dia swt tidak membenarkan seorang pun untuk memerintah dengan apa yang diturunkannya melainkan khalifah Allah di muka bumiNya.

Manakala, ayat-ayat yang menyanggah ketuanan manusia dan pilihanraya adalah tersangat banyak dan salah satu peristiwa ini adalah buat mereka yang memiliki pendengaran dan kesedaran.

KISAH MUSA DAN KAUMNYA:
وَٱخۡتَارَ مُوسَىٰ قَوۡمَهُ ۥ سَبۡعِينَ رَجُلاً۬ لِّمِيقَـٰتِنَاۖ فَلَمَّآ أَخَذَتۡہُمُ ٱلرَّجۡفَةُ قَالَ رَبِّ لَوۡ شِئۡتَ أَهۡلَكۡتَهُم مِّن قَبۡلُ وَإِيَّـٰىَۖ أَتُہۡلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَّآۖ إِنۡ هِىَ إِلَّا فِتۡنَتُكَ تُضِلُّ بِہَا مَن تَشَآءُ وَتَہۡدِى مَن تَشَآءُۖ أَنتَ وَلِيُّنَا فَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۖ وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلۡغَـٰفِرِينَ

[Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pengampun.] Surah al-A’raaf 7 :155
Dalam peristiwa ini, Musa AS, seorang nabi yang maksum telah memilih tujuh puluh orang lelaki terbaik dari kalangan Bani Israel. Ternyata sekali kesemua mereka adalah ingkar, memberontak terhadapnya dan perintah Allah swt. Jika sekiranya, seorang nabi maksum seperti Nabi Musa AS memilih tujuh puluh orang lelaki untuk misi ketuhanan dan tidak seorang pun daripada mereka yang ternyata layak untuk misi ini, maka bagaimana manusia biasa hendak memilih penguasa dan pemerintah mereka? Kemungkinan mereka akan memilih ciptaan Allah yang paling jahat tanpa mereka sedari.
Pembuktian ini sudah mencukupi buat orang-orang yang mencari kebenaran dan sesiapa yang mahukan lebih pembuktian lagi, maka al-Quran berada di dua tapak tangannya sambil berteriak ke telinga-telinga orang-orang yang lalai:
وَلَقَدۡ ڪَتَبۡنَا فِى ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعۡدِ ٱلذِّكۡرِ أَنَّ ٱلۡأَرۡضَ يَرِثُهَا عِبَادِىَ ٱلصَّـٰلِحُونَ . إِنَّ فِى هَـٰذَا لَبَلَـٰغً۬ا لِّقَوۡمٍ عَـٰبِدِينَ وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ . قُلۡ إِنَّمَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُڪُمۡ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬ۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّسۡلِمُونَ . فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُلۡ ءَاذَنتُڪُمۡ عَلَىٰ سَوَآءٍ۬ۖ وَإِنۡ أَدۡرِىٓ أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٌ۬ مَّا تُوعَدُونَ إِنَّهُ ۥ يَعۡلَمُ ٱلۡجَهۡرَ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ وَيَعۡلَمُ مَا تَڪۡتُمُونَ وَإِنۡ أَدۡرِى لَعَلَّهُ ۥ فِتۡنَةٌ۬ لَّكُمۡ وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ۬ . قَـٰلَ رَبِّ ٱحۡكُم بِٱلۡحَقِّۗ وَرَبُّنَا ٱلرَّحۡمَـٰنُ ٱلۡمُسۡتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ

[Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz: Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh. Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang mengerjakan ibadat (abidin). Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah: Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku? Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama dan aku tidak mengetahui samada yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh. Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang dan juga Dia mengetahui apa yang kamu sembunyikan (di dalam hati). Dan aku tidak mengetahui (mengapa dilambatkan balasan buruk yang dijanjikan kepada kamu itu) jangan-jangan lambatnya menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu dan di samping itu memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu. (Nabi Muhammad merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku, hukumkanlah (di antara kami dengan mereka) dengan yang benar dan Tuhan kami ialah Yang Melimpah-limpah rahmatNya yang dipohonkan pertolonganNya terhadap apa yang kamu sifatkan itu.] Surah Al Anbiya 21: 105-112

8 Soalan Kepada Mereka Yang Menunggu Kemunculan Serentak Yamani, Sufyani dan Khurasani

Keluarnya tiga panji serentak, bukanlah syarat utama untuk mengenali Al Yamani. Saya bercakap tentang hadis berikut yang dijadikan hu...