Sunday, August 13, 2017

Jalan Keluar Dari Belantara Kesesatan: Solat


Jalan Keluar Dari Belantara Kesesatan 👉 Pertama: Solat

Solat adalah tiang agama dan Mikraj seorang mukmin serta harga dirinya. Jika ia diterima, maka diterimalah ibadah yang lain, tetapi jika ia ditolak, maka ditolaklah (ibadah) yang lain, dan dengannya roh-roh disucikan daripada kekejian sebagaimana disucikan badan daripada kekotoran dengan air, dan dari sabda Nabi Allah (S):

(Sesungguhnya Allah Taala bersumpah dengan KemuliaanNya Bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan mereka yang sujud dan tidak menakut-nakutkan mereka dengan api neraka pada hari manusia bangkit menemui Tuhan sekalian alam) [1]

Maka apabila masuk waktunya janganlah ditangguh-tangguhkan lagi, kerana menangguhkannya adalah permulaan bagi melalaikannya dan boleh membawa kepada memandang ringan terhadap solat, Sabda Nabi Allah (S):

(Sesiapa yang menjaga solat fardhu lalu menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan dengan khusyuknya (rendah diri) dan kemudian memuliakan, mengagung dan memuji Allah sehinggalah masuk waktu solat fardhu yang lain tidak terputus antara keduanya, dituliskan Allah baginya ganjaran seperti orang-orang yang mengerjakan ibadah Haji  dan adalah ia termasuk orang yang tinggi kedudukkannya (ahli Illiyin)) [2]

Dan dari Al-Baqir dan Al-Shadiq (as), mereka berkata: (Kamu akan diberi ganjaran menurut sejauh mana kesungguhan kamu pada solat itu, maka jika telah berlaku kelalaian dalam melaksanakan tuntutannya, ia akan dikembalikan dan wajah pelaku solat itu akan dipukul dengannya) [3]

Dan renungkanlah akan kebesaran Allah sewaktu kamu berdiri di antara kedua tanganNya, dan memanjangkan sujud dan rukuk, kerana ia adalah hadiah kamu kepada Raja Yang Sebenarnya (Al-Malik Al-Haq) dan ganjarannya lebih besar dari itu. Dan sedapat mungkin jangan kamu meninggalkan solat berjemaah di masjid-masjid, kerana kelebihan berjemaah sangat besar. Dan  hendaklah melakukan sebahagian solat-solat mustahab (sunat), terutama Solat Ghufailah, dan Solat Malam, jangan pernah meninggalkannya kerana ganjarannya sangat besar, ia  adalah solat lapan rakaat, kemudian dua rakaat Solat Sha’fa dan (penutupnya) satu rakaat - Solat Witir, selepas setiap dua rakaat beri salam (mengakhiri solat) seperti Solat Subuh kecuali pada Solat Witir kerana ia adalah solat satu rakaat sahaja, dan boleh sahaja melaksanakan Solat Malam dengan hanya memuji Allah (Dhikr), dan boleh solat dua rakaat Solat Shafa dan satu Solat Witir sahaja.

Dan telah diriwayatkan bahawa sesiapa yang bangun sebelum Solat Subuh dan mendirikan Solat Witir dan Solat Nafilah Subuh – iaitu dua rakaat sebelum Solat Subuh - ditulis baginya sebagai Solat Malam (penuh) maka jangan lepaskan peluang kamu ini. [4]

Dari Abi Abdullah (as): (Seorang lelaki datang menemui Nabi (S) dan berkata: Wahai Nabi Allah, adakah Allah bertanya sesuatu selain dari solat fardu? Jadi baginda bersabda: “Tiada.” Lalu dia berkata: Demi yang mengutus kamu Kebenaran, aku hanya mendekatkan diri kepada Allah melaluinya. Baginda bersabda: Mengapa? Dia berkata; Kerana Allah telah menciptakan aku dalam keburukan. Maka Nabi (S) menahan diri, dan Jibril (as) telah turun lalu berkata: Ya Muhammad, Allah mengirim Salam kepadamu dan mengatakan sampaikan salam kepada hambaku si fulan dan si fulan, dan katakanlah kepadanya: Tidakkah engkau redha jika Aku bangkitkan engkau esok nanti dari kalangan orang yang selamat? Lalu dia berkata: Wahai Nabi Allah, adakah Allah menyebut aku!? Baginda bersabda: Ya, jadi dia berkata: Demi yang mengutus kamu dengan kebenaran, tiada sesuatupun yang akan dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah kecuali akan aku lakukannya.)5

Siapakah di antara kita yang tidak berbuat dosa, dan siapakah di antara kita tidak mahu datang pada Hari Kiamat dengan selamat?

-------------------------

[1] Amalie Al-Shaduq: halaman 154, Uyun Akhbar Al-Redha (as): Jilid 2: halaman 266, Bihar Al-Anwar: Jilid 93: halaman 357.

[2] Wasail Al-Syahid Al-Tsani: halaman 107, Mustadrak Al-Wasail: Jilid 4: halaman 101, Bihar Al-Anwar: Jilid 81: halaman 260.

[3] Al-Kafi: Jilid 3: halaman 363, Al-Tahzhib: Jilid 2: halaman 342, Bihar Al-Anwar: Jilid 81: halaman 260.

[4] Mu'awiyah bin Wahab meriwayatkan, dari Al-Shadiq (as) bahawa dia mendengar beliau berkata: (bergembiralah salah seorang dari kamu yang bangun sebelum subuh dan bersolat Witir dan solat dua rakaat Solat Fajr (Nafilah Subuh) – maka ditulis baginya sebagai solat Malam (penuh)) Tahzhib Al-Ahkam: Jilid 2: halaman 341, Wasail Al-Syiah (Aali Al-Bait): Jilid 4: halaman 258.
5 Ilal Al-Syarai: Jilid: halaman 463, Bihar Al-Anwar: Jilid 5: halaman 280.

8 Soalan Kepada Mereka Yang Menunggu Kemunculan Serentak Yamani, Sufyani dan Khurasani

Keluarnya tiga panji serentak, bukanlah syarat utama untuk mengenali Al Yamani. Saya bercakap tentang hadis berikut yang dijadikan hu...