Friday, August 18, 2017

Jalan Keluar Dari Belantara Kesesatan: Puasa


Ibadah puasa mendidik diri (nafs) sendiri untuk mengambil berat ke atas golongan fakir miskin, di samping menjadikan kita bertaqwa kepada Allah. Jadi dengan ini, kamu tidak akan menghabiskan masa siang (waktu berpuasa) mu dengan memikirkan tentang waktu makan mu dan jenis makanan yang akan kamu ambil ketika lapar. Maka, apabila kamu lapar ketika kamu sedang berpuasa, ingatlah bahawa berapa ramai lagi umat Islam yang menjalani waktu siangnya kelaparan sepanjang tahun, dan janganlah kamu menjadi seperti mereka yang disebutkan di dalam firman Allah (S):
 
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنُطْعِمُ مَنْ لَوْ يَشَاءُ اللَّهُ أَطْعَمَهُ إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلالٍ مُبِينٍ


[Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Nafkahkanlah sebahagian dari rezeki yang diberikan Allah kepadamu", maka orang-orang yang kafir itu berkata kepada orang-orang yang beriman: "Apakah kami akan memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah menghendaki tentulah Dia akan memberinya makan, tiadalah kamu melainkan dalam kesesatan yang nyata.] (Yasin 36:47)

Memberi makan kepada faqir miskin bukanlah satu-satunya perkara yang kamu boleh lakukan, malah kita semua mesti berkerja untuk mengangkat (melenyapkan) kemiskinan dari semua kaum Muslimin, di mana orang miskin adalah majoriti dari keseluruhan umat Islam, yang tanahnya kaya dengan semua jenis kekayaan, pertanian, hasil lombong dan minyak.

Jika apa yang ada di tanah orang Islam dibelanjakan untuk orang Islam menurut undang-undang (Syariat) Islam, orang Islam sekarang akan menjadi antara orang yang terkaya di dunia, tetapi malangnya kuasa mutlak ke atas tanah yang kaya dengan sumber bumi ini berada di tangan penzalim yang tidak mempunyai tujuan lain melainkan merompak hasil dari sumber-sumber tersebut untuk membina istana megah, bermaksiat serta meminum alkohol.
 
Salah seorang dari penzalim ini, apabila membuat lawatan kepada salah sebuah negara Barat, dia akan membawa bersamanya tujuh pesawat besar dan dua ratus tan bahan makanan, barang mewah serta lain-lain perkara, termasuklah khadam dan lain-lain keperluan yang perbelanjaannya cukup untuk memberi makan kepada penduduk sebuah bandar yang kebuluran dan kelaparan. Seorang lagi penzalim pula membelanjakan untuk sebahagian keperluan media massa yang mana kosnya cukup untuk memberi makan kepada orang-orang mukmin yang dikuasainya melalui pertumpahan darah sementara mereka mengalami kelaparan atau kebuluran. Semua ini adalah usaha dirinya untuk menutup wajah  hitam dan mulutnya, yang penuh dengan darah orang-orang mukmin supaya dapat terus mengekalkan kuasanya ke atas kaum Muslimin, agar dia mempunyai satu hari lagi untuk menjarah wang dan makan dengan jumlah besar, semoga isi perutnya tidak dikenyangkan oleh Allah.
 
Wahai saudara yang dikasihi, dengan berpuasa kita merenung dan memikirkan keadaan umat Islam. Dengan berpuasa kita berjihad mendidik diri (nafs), menentang syaitan, keinginan dan perhiasan dunia, dan dengan berpuasa ia mendidik kasih dan benci kerana Allah. Pada hati orang yang berpuasa, terdapat kasih sayang sesama mukminin tetapi tegas dan keras pada orang-orang kafir dan munafik, berhati-hatilah dari menjadikan puasa kamu hanya sekadar lapar dan dahaga.
 
Diriwayatkan daripada Rasulullah (s):
 
(ما أقل الصوم وما أكثر الجوع)
 
(Sedikit yang berpuasa dan banyak yang berlapar) (Bihar Al-Anwar: Jilid 93: halaman 293)
 
Amir Al-Mukminin (a) telah berkata:
 
(كم من صائم ليس له من صيامه إلاّ الظمأ، وكم من قائم ليس له من قيامه إلاّ العناء، حبذا نوم الأكياس وإفطارهم) 
 
(Berapa ramai dari yang berpuasa tanpa mendapat hasil dari puasanya, selain dahaga, dan berapa ramai yang berdiri (solat) dan apa yang mereka dapat dari berdiri selain keletihan, lebih baik mereka tidur dengan bantal-bantal dan berbuka) (Nahj Al-Balaghah dengan syarah Muhammad Abduh: Jilid 4: halaman 35)
 
Diriwayatkan bahawa Rasulullah (s) bersabda kepada Jabir bin Abdullah Al-Ansari (Wahai Jabir ini adalah bulan Ramadan, barangsiapa yang berpuasa pada siang hari dan bangun menghidupkan malam, dan yang melemahkan perut serta keinginan seksualnya, menjaga lidahnya daripada dosa-dosanya, maka dia akan suci dari dosa sebagaimana dia meninggalkan bulan itu. Jabir berkata, “Betapa indahnya kata-kata ini” Rasulullah (s) bersabda: Wahai Jabir, Betapa beratnya syarat-syarat ini) (Al-Kafi: Jilid 4: halaman 87, Tahzhib Al-Ahkam: Jilid 4: halaman 196.)
 
Mungkin amalan yang paling penting dalam beribadah dalam bulan puasa adalah membaca Al-Quran, hendaklah diketahui bahawa merenung dan mengkaji makna Al-Quran agar anda menjalani kehidupan orang yang bahagia dan matinya seperti orang yang mati syahid.
 
Diriwayatkan dari Rasulullah (S): (Akan datang pada manusia zaman yang tidak tinggal dari Al-Quran itu selain tulisannya) (Al-Kafi: Jilid 8: halaman 308, Sawab Al-Amal 253.)
 
Betapa banyak naskhah Al-Quran hari ini, dan semakin ramai yang membaca Al-Quran, segala pujian bagi Allah, tetapi adakah mereka bertadabbur (merenungkan) Al-Quran? Adakah kita berakhlaq dengan akhlaq Al-Quran? Adakah kita memikirkan (mengkaji) ayat-ayatnya? Adakah kita menjadi hamba Allah? Adakah kita kufur dengan taghut (penzalim) seperti yang diperintahkan dalam Al-Quran? Adakah kita menjadi dari kalangan orang-orang yang yakin?
 
Allah Taala berfirman:
 
وَلَوْ أَنَّ قُرْآناً سُيِّرَتْ بِهِ الْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ الْأَرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ الْمَوْتَى بَلْ لِلَّهِ الْأَمْرُ جَمِيعاً
 




[Dan sekiranya ada suatu bacaan [kitab suci] yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh karenanya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah.] (Al-Raad 13:31)
 
Subhana Allah Maha Suci Allah - semua ini ada dalam Al-Quran dan kita lalai terhadap Al-Quran!! Kita adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya kita akan kembali. Adakah dikataka kita merenung makna Al-Quran namun kita tidak berasa cemas dengan bencana kecil yang diturunkan kepada kita? Dalam Al-Quran yang tidak terkira banyaknya pelajaran tentang kesabaran dan tawakkal kepada Allah dalam Surah Al-Syu’ara:
 
فَلَمَّا تَرَاءَى الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَابُ مُوسَى إِنَّا لَمُدْرَكُونَ * قَالَ كَلَّا إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ
 
[Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: "Sesungguhnya kita benar-benar akan dapat ditawan." Musa menjawab: "Sekali-kali tidak; sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku."] (Al-Syuara 29:61-62.)
 
Tidakkah kita patut merenungkan maksud ayat-ayat ini??
 
Sahabat-sahabat Musa (a) menegaskan bahawa mereka telah terperangkap di tangan Firaun dan angkatan tenteranya, dan Musa (a) menegaskan bahawa Allah akan memberi petunjuk dan menyelamatkannya dari Firaun dan angkatan tenteranya:
 
كَلَّا إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ
 
[Sekali-kali tidak; sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku.]

Adakah kamu pernah membaca ayat ini sebagai senjata untuk mengalahkan musuh kamu sebagaimana Nabi Allah Musa (a) lakukan?

8 Soalan Kepada Mereka Yang Menunggu Kemunculan Serentak Yamani, Sufyani dan Khurasani

Keluarnya tiga panji serentak, bukanlah syarat utama untuk mengenali Al Yamani. Saya bercakap tentang hadis berikut yang dijadikan hu...